DUNIA > BERITA

LOGO & TEMA KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025 LAMBANG ENAM NILAI TERAS MALAYSIA MADANI PM ANWAR

22/10/2024 10:20 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Logo dan tema rasmi bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 menggabungkan elemen utama, termasuk enam stigma bunga yang melambangkan enam nilai teras Malaysia MADANI - Kemampanan, Ihsan, Hormat, Daya Cipta, Kesejahteraan dan Keyakinan.

Nilai-nilai ini berfungsi sebagai asas visi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menandakan komitmen negara untuk memacu keterangkuman dan kemampanan di rantau ini.

Logo dan tema yang dilancarkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Wisma Putra hari ini, diinspirasikan daripada bunga kebangsaan Malaysia, Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis).

Bunga ini melambangkan kekayaan budaya, perpaduan dan identiti rantau ini.

Lengkungan lima kelopak ke dalam yang mengelilingi logo ASEAN mencerminkan keterangkuman yang memperkukuh visi Malaysia untuk rantau ASEAN yang aman, stabil dan makmur.

Bulatan kelopak bunga mengelilingi logo ASEAN menunjukkan usaha kolektif ASEAN untuk mencapai kemampanan jangka panjang rantau ini dan rakyatnya.

Selain itu, penggunaan logo ASEAN yang berada di tengah melambangkan Kepusatan ASEAN.

Warna yang digunakan di dalam logo (biru, merah, kuning dan putih) mewakili warna-warna utama bendera kesemua negara anggota ASEAN.

Dalam majlis itu, para hadirin turut diperkenalkan dengan logo rasmi Kepengerusian ASEAN 2025, rekaan Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir, pemenang pertandingan logo ASEAN yang diadakan awal tahun ini.

Majlis diakhiri dengan tayangan montaj video Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang boleh diakses di laman sesawang Kementerian Luar Negeri di www.kln.gov.my.

Hadir pada majlis itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (Menteri Penyelaras Bagi Tonggak Ekonomi ASEAN); Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Penyelaras Bagi Tonggak Sosiobudaya ASEAN) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir pegawai kanan kerajaan, ketua perwakilan asing di Malaysia dan wakil pertubuhan antarabangsa serta wakil media.

Pada 11 Okt, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos Sonexay Siphandone.

Anwar berkata Kepengerusian Malaysia akan memulakan lembaran baharu di bawah ”Visi Komuniti ASEAN 2045”.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, kini terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, dengan keahlian penuh Timor-Leste masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan