DUNIA > BERITA

VIETNAM SASAR PERKUKUH DIPLOMASI DENGAN DUNIA ISLAM MELALUI PEMBANGUNAN EKONOMI MAKANAN HALAL

23/10/2024 05:51 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 23 Okt (Bernama) -- Vietnam sedang melaksanakan strategi dua hala untuk membangunkan ekonominya dalam sektor halal dengan menjadi pengeluar dan pengeksport utama produk halal, sambil mengukuhkan hubungan diplomatik dengan masyarakat Islam global.

Hanoi, menganjurkan persidangan halal negara pertama bertemakan “Fostering International Cooperation and Mobilising Internal Resources to Develop Vietnam’s Halal Industry” pada Selasa, menandakan komitmen negara itu kepada dunia Islam, lapor Vietnam News.

Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chinh dalam ucapannya kepada para peserta antarabangsa di persidangan itu, menegaskan bahawa kerajaan memandang serius pembangunan sektor halal dan mengenal pasti ia sebagai hala tuju baharu dalam aktiviti pengeluaran.

"Kami menganggap pembangunan pasaran halal sebagai kerjasama ekonomi penting, tonggak baharu, dan penggerak baharu dalam memperkukuh hubungan terutamanya dengan negara-negara dan komuniti Muslim di seluruh dunia.

"Kami melihat ini sebagai peluang keemasan bagi perusahaan Vietnam untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam pasaran halal dan rantaian nilai halal global secara efektif,” kata Perdana Menteri.

Dengan kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara, berdekatan dengan Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand yang mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan dan perkhidmatan halal, Vietnam boleh memanfaatkan kelebihan ini, kata pakar industri.

Sebagai sebuah ekonomi yang kukuh dalam bidang pertanian dan bergantung kepada pasaran eksport hasil tani dan ternakan, eksport halal merupakan satu lagi kelebihan bagi pengeksport Vietnam untuk menceburi segmen halal.

Eksport produk pertanian, perhutanan dan perikanan Vietnam dijangka mencecah US$54 bilion pada tahun ini.

Terdapat kira-kira 90,000 penganut Islam di negara itu.

“Vietnam memberi isyarat kepada dunia bahawa ia bersedia untuk menyertai ekonomi halal. Negara ini akan mematuhi piawaian dan peraturan, serta membangunkan modal insan untuk sektor halal.

“Sasaran Vietnam adalah pasaran Muslim dan bukan Muslim. Mereka sudah mempunyai kira-kira 1,000 produk halal yang dieksport ke negara-negara ASEAN,” kata Ramlan Osman, Pengarah Halcert Authority di bawah Kementerian Sains dan Teknologi Vietnam, kepada Bernama dalam satu temu bual telefon.

Halcert menandatangani memorandum persefahaman dengan empat agensi pensijilan luar negara – GAE Resources Malaysia Sdn Bhd, rakan strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Korea Halal Agency, MUIS Singapura (Majlis Ugama Islam Singapura) dan Pusat Pensijilan Eropah – untuk bekerjasama dalam latihan, perkongsian dan pengiktirafan bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan