DUNIA > BERITA

KEMBOJA CATAT 4.8 JUTA PELANCONG ANTARABANGSA DALAM 9 BULAN PERTAMA 2024

23/10/2024 08:10 PM

PHNOM PENH, 23 Okt (Bernama-Xinhua) -- Kemboja menarik seramai 4.8 juta pelawat asing dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, meningkat 22 peratus berbanding 3.92 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan Kementerian Pelancongan yang dikeluarkan pada Rabu, dipetik oleh Xinhua.

"Jumlah ini mencapai 99.7 peratus daripada angka pada sembilan bulan pertama 2019, sebelum era pandemik COVID-19," menurut laporan itu.

Thailand terus mendahului carta kedatangan pelancong antarabangsa ke Asia Tenggara dalam tempoh Januari-September tahun ini, diikuti Vietnam, China, Laos dan Amerika Syarikat.

Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Pelancongan, Top Sopheak berkata Kemboja merupakan destinasi pelancongan budaya dan ekologi.

"Negara ini terkenal dengan Taman Arkeologi Angkor, sebuah tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO di wilayah barat laut Siem Reap, dan teluk yang indah di barat daya Sihanoukville," katanya kepada Xinhua.

Selain itu, negara ini juga mempunyai tiga lagi tapak warisan dunia, iaitu Zon Kuil Sambor Prei Kuk di wilayah tengah Kampong Thom, Kuil Preah Vihear, dan tapak arkeologi Koh Ker di wilayah barat laut Preah Vihear.

Pelancongan adalah satu daripada empat tonggak yang menyokong ekonomi Kemboja, selain eksport pakaian, kasut dan barangan perjalanan, pertanian serta pembinaan dan hartanah.

Negara itu menerima 5.45 juta pelancong antarabangsa pada 2023, menjana pendapatan kasar sebanyak US$3.08 bilion, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan