DUNIA > BERITA

ITALI RANCANG HADKAN BILANGAN PELANCONG KE PULAU CAPRI

24/10/2024 09:23 PM

ROM, 24 Okt (Bernama-dpa) -- Pulau Mediterranean Itali yang sering dikunjungi, Capri, merancang untuk mengehadkan bilangan pelancong yang tiba setiap hari dengan mengurangkan kekerapan perkhidmatan feri, menurut agensi berita Jerman (dpa).

Feri dari tanah besar Itali, yang semasa musim puncak tiba di pulau berhampiran bandar selatan Naples setiap 10 minit, mungkin akan beroperasi dengan selang masa minimum 20 minit antara ketibaan untuk mengurangkan kesesakan di pelabuhan.

Walau bagaimanapun, keputusan akhir mengenai sama ada peraturan selang feri, yang telah wujud sejak 1990, akan dihapuskan masih belum diputuskan.

Capri merupakan antara destinasi paling banyak dikunjungi di Itali. Semasa musim puncak, pulau yang mempunyai kurang daripada 15,000 penduduk tetap ini menerima puluhan ribu pelawat setiap hari.

Malah, pada hujung minggu lalu - walaupun musim puncak pelancongan telah berakhir - lebih 30,000 pelancong direkodkan. Tahun lepas, jumlah keseluruhan melebihi 2.7 juta pelawat.

Perjalanan menyeberang dari tanah besar, kebanyakannya dari Naples, mengambil masa kira-kira satu jam. Keadaan ini memberikan peluang perniagaan yang menguntungkan bagi beberapa syarikat feri.

Memandangkan bilangan pelancong harian yang ramai, Datuk Bandar Capri Peppe Falco, turut menyeru undang-undang baharu yang akan memberi lebih kebebasan kepada pihak berkuasa tempatan dalam mengurus aliran pelawat.

Aduan tentang terlalu ramai pelancong telah meningkat di beberapa destinasi percutian di Itali sejak kebelakangan ini. Venice kini cuba menangani masalah ini dengan mengenakan bayaran kepada pelawat harian.

Di pusat bersejarah Florence, pihak berkuasa bandar sedang mengambil tindakan untuk mengawal penyewaan pangsapuri yang ditawarkan melalui platform seperti Airbnb.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan