DUNIA > BERITA

BANGLADESH, AFGHANISTAN SERTAI MASYARAKAT ANTARABANGSA KUTUK SERANGAN PENGGANAS DI TURKIYE

24/10/2024 09:53 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 24 Okt (Bernama) -- Bangladesh dan Afghanistan pada Khamis menyertai kecaman masyarakat antarabangsa terhadap serangan pengganas di Turkiye.

Bangladesh mengutuk serangan pada Rabu itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kerajaan dan rakyat Bangladesh berdiri dalam solidariti dengan Turkiye dalam masa yang sukar ini," menurut Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Afghanistan menyatakan kesedihannya apabila mengetahui serangan yang dilakukan oleh pengganas ke atas kemudahan Turkish Aerospace Industries di Ankara.

Kementerian itu turut mengucapkan takziah kepada kerajaan Turkiye serta keluarga mangsa.

Menteri Luar Maldives Abdulla Khaleel berkata beliau "amat sedih dan terkejut dengan serangan pengganas yang kejam itu" dan mengucapkan takziah kepada rakan sejawatannya dari Turkiye, Hakan Fidan sambil menyatakan solidariti dengan Turkiye.

Hasil siasatan awal menunjukkan kumpulan pengganas PKK sebagai dalang serangan itu yang menyebabkan lima orang terbunuh dan 22 yang lain cedera, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya.

Tentera Turkiye telah memusnahkan beberapa sasaran PKK di utara Iraq dan Syria selepas serangan itu, yang mendapat kecaman global.

Rusia, Pakistan, Greece, Belgium, Ireland, Algeria, Jordan, Macedonia Utara, Azerbaijan dan Somalia adalah antara negara yang mengecam serangan yang dilakukan oleh seorang penyerang lelaki dan wanita.

Serangan itu berlaku ketika Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan melawat bandar Kazan di Rusia untuk menyertai sidang kemuncak kumpulan BRICS dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan