DUNIA > BERITA

BANGKAI JET BAWA KETUA TURUS TENTERA LIBYA DITEMUKAN BERHAMPIRAN ANKARA

24/12/2025 01:13 PM

ANKARA/ISTANBUL, 24 Dis (Bernama-Anadolu) -- Bangkai sebuah jet peribadi dalam penerbangan ke Tripoli yang membawa lima penumpang, termasuk Ketua Turus Am Angkatan Tentera Libya, Jeneral Mohamed Ali Ahmed Al-Haddad ditemukan di selatan ibu negara Turkiye selepas terputus hubungan sejurus berlepas dari Ankara, kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada Selasa.

Yerlikaya berkata bangkai jet perniagaan jenis Falcon 50 yang berlepas dari Lapangan Terbang Esenboga, Ankara menuju ke Tripoli itu ditemukan oleh pasukan gendarmerie kira-kira dua kilometer di selatan Kampung Kesikkavak di daerah Haymana.

Menurut Anadolu Ajansi, Menteri Kehakiman Turkiye Yilmaz Tunc berkata pihak pendakwa raya telah melancarkan siasatan berhubung nahas itu.

Sebelum ini, Yerlikaya memaklumkan bahawa hubungan dengan jet berkenaan, yang nombor pendaftarannya 9H-DFJ, terputus pada kira-kira 8.52 malam waktu tempatan (1752 GMT), sejurus selepas ia berlepas pada 8.10 malam (1710 GMT).

Beliau berkata pesawat itu sempat menghantar pemberitahuan pendaratan kecemasan berhampiran Haymana, namun tiada komunikasi lanjut dapat diwujudkan selepas itu.

Pihak berkuasa akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa, tambah Yerlikaya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan