DUNIA > BERITA

MALAYSIA KECAM KEPUTUSAN KNESSET ISRAEL HARAMKAN OPERASI UNRWA

30/10/2024 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rang undang-undang yang diluluskan Parlimen Israel (Knesset) baru-baru ini yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Gaza.

Kementerian Luar Malaysia, Wisma Putra pada Rabu mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk tindakan ini sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyifatkannya sebagai “satu penghinaan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.”

“Malaysia menegaskan lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, di mana kehadiran UNRWA diiktiraf menerusi satu perjanjian antara Palestin dan PBB,” katanya. 

Wisma Putra berkata rang undang-undang berkenaan seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang disengajakan dan  jelas menyalahi undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menenggelamkan isu pelarian Palestin.

Kementerian Luar berkata tindakan itu juga menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka   seperti yang didukung Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194, dan untuk mengakibatkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza. 

UNRWA kekal sebagai satu talian hayat penting untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin,menyediakan perkhidmatan penting dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah.  

Malaysia kekal teguh dalam memberi sokongan kepada UNRWA dan menggesa masyarakat antarabangsa  untuk mengambil tindakan yang tegas dan segera untuk melindungi agensi ini dan menamatkan penderitaan yang dialami rakyat Palestin, katanya. 

Pada Isnin (28 Okt) media antarabangsa melaporkan bahawa parlimen Israel telah mengundi untuk mengharamkan operasi UNRWA di wilayah yang diduduki dalam tempoh 90 hari, tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa dan Amerika Syarikat untuk mengekalkan operasi penyedia bantuan kemanusiaan terbesar kepada warga Palestin itu.

Dengan undian 92-10, Knesset mengharamkan agensi itu yang beroperasi di israel menurut Perjanjian 1967 daripada melakukan “sebarang aktiviti” atau menyediakan sebarang perkhidmatan dalam Israel termasuk wilayah yang diduduki Baitulmuqaddis Timur, Gaza dan Tebing Barat.    

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan