OVIEDO (Sepanyol), 30 Okt (Bernama-Anadolu) -- Banjir dahsyat di wilayah Valencia, Sepanyol menyebabkan 62 orang maut, menurut data sementara yang dilaporkan oleh Pusat Penyelarasan Operasi Bersepadu Kementerian Dalam Negeri.
Jumlah korban terbaru ini berlaku selepas kejadian banjir dahsyat dalam tempoh satu malam, yang disebabkan oleh ribut terburuk abad ini. Ribut itu setanding dengan dua ribut lain pada 1980-an, lapor Agensi Anadolu yang memetik agensi meteorologi Sepanyol.
Ribut itu bermula pada Selasa, yang membawa hujan lebat menyamai taburan hujan setahun dalam tempoh beberapa jam, menyebabkan air sungai melimpah dengan cepat dan malah berlaku kejadian puting beliung.
Jalan raya dan bandar mula dinaiki air, mendorong pihak berkuasa memotong perkhidmatan kereta api di sekitar Valencia, membatalkan penerbangan, dan akhirnya meminta penduduk untuk tinggal di dalam rumah pada Selasa malam.
Walau bagaimanapun, pada masa kerajaan menghantar amaran kecemasan meminta orang ramai untuk tinggal di dalam rumah atau mencari tempat tinggi, banyak kerosakan telah berlaku.
Apabila air sungai melimpah ke bandar, jalan raya dan kawasan kejiranan, ratusan orang terperangkap di atas bumbung rumah, di dalam kenderaan, pusat beli-belah, atau kawasan perindustrian; ada yang berpaut pada pokok.
Penduduk yang terdesak menggunakan media sosial untuk meminta bantuan selepas talian kecemasan tempatan terhenti akibat bangunan yang ditenggelami air dan jumlah panggilan yang tinggi.
Akhbar harian Sepanyol El Pais melaporkan ratusan orang masih menunggu untuk diselamatkan pada pagi Rabu.
"Kami tidak dapat menyelamatkan mangsa apabila mereka sangat memerlukan," kata Agensi Anadolu yang memetik Jose Miguel Basset, ketua anggota bomba di wilayah Valencia, kepada penyiar Sepanyol RTVE. "Dan kami masih tidak mempunyai akses ke semua tempat yang memerlukan penyelamatan."
Kerajaan Valencia membuka talian telefon khusus untuk melaporkan orang hilang.
Penduduk masih digesa untuk mengelakkan sebarang perjalanan lebuh raya, dan kebanyakan sekolah di wilayah autonomi itu kekal ditutup.
Sementara itu, sistem ribut terus bergerak melintasi Semenanjung Iberia, dengan kebanyakan kawasan di timur laut dan barat daya Sepanyol diletakkan dalam amaran cuaca hujan lebat.
-- AGENSI BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial