DUNIA > BERITA

10 CEDERA AKIBAT BANJIR KILAT DI SUMATERA UTARA, INDONESIA

19/12/2024 10:56 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Dis (Bernama) -- Banjir kilat di daerah Tapanuli Selatan, wilayah Sumatera Utara, pada petang Rabu mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Hujan lebat mencetuskan banjir kira-kira 7 malam waktu tempatan di wilayah itu, menjejaskan dua mukim iaitu Batang Angkola dan Tano Tombangan.

"Laporan menunjukkan bekalan elektrik telah terputus di kawasan terjejas dan paras air surut secara beransur-ansur," kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setakat 10.40 malam waktu tempatan pada hari yang sama, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 495 keluarga terjejas, dengan 250 orang berlindung di tiga pusat pemindahan di Simaninggir, Kota Tua dan Istana Hasadaon Kota.

Menurut Abdul Muhari, sebanyak 495 rumah rosak, dengan lumpur setebal 50 sentimeter meliputi beberapa kawasan. Usaha pembersihan sedang dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan penduduk.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Tapanuli Selatan sedang menyelaras dengan daerah tempatan untuk membantu mangsa terjejas dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir seterusnya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk supaya sentiasa berwaspada ketika hujan lebat berterusan di wilayah itu, yang meningkatkan risiko banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan