DUNIA > BERITA

PM ANWAR LAKUKAN LAWATAN KERJA EMPAT HARI KE CHINA MULAI 4 NOV

03/11/2024 10:15 AM

Daripada Massita Ahmad

SHANGHAI, 3 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov 2024, atas jemputan daripada rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Ahad (3 Nov), Malaysia diberi penghormatan sebagai "Country of Honour" di CIIE ketujuh pada tahun ini.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

"Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024 serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," menurut kenyataan itu.

CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan semasa majlis pembukaan CIIE ketujuh, Anwar akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), termasuk mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan mengadakan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.

Perdana Menteri juga akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 Nov, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping.

Beliau juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre.

“Lawatan ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini,” kata kementerian itu.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar.

Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

Sehingga September 2024, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).

Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (US$ 252.5 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan