DUNIA > BERITA

PM SELAMAT TIBA DI SHANGHAI, PERHENTIAN PERTAMA DALAM RANGKA LAWATAN KERJA KE CHINA

04/11/2024 11:52 PM

Daripada Massita Ahmad

SHANGHAI, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Shanghai, perhentian pertama sebelum Beijing, dalam rangka lawatan kerja beliau ke China dari 4 hingga 7 Nov.

Lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Li Qiang agar Anwar menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di Shanghai, yang merupakan hab kewangan global.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Hongqiao pada 9.50 malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia di Beijing Datuk Norman Muhamad dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Syed Farizal Aminy Syed Mohamad.

Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Timbalan Datuk Bandar Shanghai dan Setiausaha Parti Daerah Minhang iaitu Chen Yu Jian serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa pada tahun ini, Malaysia diberikan penghormatan sebagai Country of Honour pada CIIE ke-7.

Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Di Shanghai, Perdana Menteri dijadual bertemu Li bagi membincangkan isu hubungan dua hala sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024.

CIIE adalah inisiatif Kerajaan China yang menyediakan platform untuk negara-negara yang terlibat dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosi serta mengimport produk dan perkhidmatan ke republik itu.

Selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia di peringkat dunia.

Pada 2023, nilai dagangan dengan China ialah RM450.84 bilion (US$98.80 bilion) yang menyumbang sebanyak 17.1 peratus daripada perdagangan dunia Malaysia.

Setakat September 2024, nilai dagangan yang dicatat ialah RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).

Pada suku pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (US$252.5 juta).

Ini adalah kunjungan ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada March 2023 disusuli lawatan kedua pada September tahun yang sama.

Bagaimanapun, ini adalah lawatan pertama beliau ke Shanghai.

Perdana Menteri dijadual berlepas ke perhentian seterusnya dalam rangka lawatan tersebut iaitu Beijing pada 6 Nov.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan