Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, menyeru perubahan besar dalam strategi untuk menangani krisis berterusan di Gaza, termasuk tindakan ekonomi yang lebih tegas dan sekatan terhadap rejim Zionis.
Beliau berkata, situasi di Gaza boleh dianggap sebagai definisi sebenar genosid.
“Kita telah sampai ke tahap di mana kita perlu berbuat lebih. Apa yang berlaku di Gaza adalah satu-satunya definisi sebenar genosid.
Hasrat yang jelas untuk menghapuskan keseluruhan kumpulan manusia menjadikan penggunaan istilah genosid lain kelihatan remeh,” katanya pada “Persidangan mengenai Palestin: Meneliti Perspektif Asia” yang diadakan di sini, Isnin.
Tian Chua memuji usaha rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak Palestin tetapi menekankan keperluan untuk mendesak kerajaan agar bertanggungjawab, dengan menyeru tekanan maksimum terhadap kerajaan bagi mengambil tindakan tegas.
Beliau menekankan perlunya lebih daripada sekadar bantuan kemanusiaan, mencadangkan bahawa Asia, termasuk Malaysia dan ASEAN harus memaksimumkan potensi ekonomi mereka untuk memberi tekanan kepada Israel.
Beliau juga berkata negara-negara yang bersekongkol dengan jenayah Israel perlu dipertanggungjawabkan dan dikenakan sekatan.
Tian Chua turut mengkritik pendekatan selektif komuniti antarabangsa terhadap sekatan, serta kepura-puraan dalam sistem perdagangan global, di mana Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap sebahagian besar penduduk dunia, termasuk negara seperti China, Korea Utara, dan Iran.
“Mengapa kita perlu tunduk kepada sistem perdagangan mereka atau intimidasi mereka? Kerajaan mesti memimpin dalam meningkatkan usaha kita untuk memberikan kesan ekonomi demi pembebasan Palestin,” katanya.
Seorang lagi panelis dalam persidangan itu, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr. Nor Aishah Hanifa ketika membincangkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menekankan bahawa organisasi itu bukanlah satu pihak berkuasa global dengan kuasa mutlak ke atas negara-negara anggotanya.
“PBB ditubuhkan untuk memupuk persahabatan antara negara selepas Perang Dunia Kedua dan menginspirasikan keamanan dalam kalangan negara. Ia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan negara-negara anggota organisasinya,” katanya.
Beliau berpendapat bahawa kekangan asas ini adalah sebab mengapa PBB tidak dapat bertindak untuk menghentikan tindakan Israel di Timur Tengah.
Acara sehari itu, yang dianjurkan oleh Pusat Timur Tengah Asia (AMEC) dengan kerjasama Pusat Kajian Palestin Hashim Sani dan Universiti Malaya, bertujuan menonjolkan sumbangan negara-negara Asia kepada perjuangan Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial