DUNIA > BERITA

TENTERA LAUT INDONESIA, RUSIA LAKSANAKAN LATIHAN BERSAMA PERTAMA DI LAUT JAWA

05/11/2024 03:22 PM

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Tentera Laut Indonesia dan Rusia memulakan latihan bersama pertama mereka, Orruda, yang bertujuan meningkatkan kerjasama ketenteraan dan keserasian operasi antara kedua-dua negara.

Latihan lima hari itu, yang akan berakhir pada Jumaat, berlangsung di Jawa Timur, dengan fasa pelabuhan di Surabaya dan fasa laut di Laut Jawa.

Menurut kenyataan dari Pusat Maklumat Angkatan Tentera Nasional Indonesia, latihan itu adalah hasil pertemuan tentera laut pada 2018 antara kedua-dua negara dan komitmen untuk memperkukuh pemahaman bersama dalam keselamatan maritim.

“Latihan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan kerjasama dan keselamatan dalam domain maritim,” kata Panglima Tentera Laut Indonesia Laksamana Dr Muhammad Ali dalam kenyataan itu.

“Kami berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada keamanan dan keselamatan di rantau ini serta menyediakan peluang untuk mempereratkan lagi hubungan melalui tindakan konkrit,” katanya.

Latihan itu dimulakan dengan majlis pembukaan pada Isnin, yang dihadiri komander Armada Tentera Laut Indonesia Laksamana Muda Dr Denih Hendrata, yang mewakili Dr Muhammad Ali dan Duta Besar Rusia Sergey Gennadievich Tolchenov.

“Keselamatan maritim adalah penting bagi setiap negara yang mempunyai kepentingan di laut,” kata Dr Denih, sambil menambah bahawa latihan itu direka untuk menyelaraskan perspektif kedua-dua negara dalam melindungi dan menghormati kedaulatan masing-masing.

Komander Flotila Tentera Laut Rusia Laksamana Muda Aleksei Tysuev, menekankan kepentingan latihan itu dalam memastikan kedua-dua tentera laut bersedia menghadapi sebarang cabaran maritim yang tidak dijangka.

Tentera Laut Indonesia mengerahkan beberapa aset untuk latihan itu termasuk KRI I Gusti Ngurah Rai-332, KRI Frans Kaisiepo-368 dan helikopter AS 565 MBE.

Tentera Laut Rusia pula menghantar kapal perang kelas korvet RF Rezky, RF Gromky dan RF Aldar Tsydenzhapov, serta kapal tangki sederhana Pechenga, helikopter KA-27 dan kapal penyelamat Alatau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan