DUNIA > BERITA

PENERBANGAN DIBATALKAN SELEPAS PENUMPANG DAKWA ENJIN TERBAKAR DI PAPUA

05/11/2024 10:34 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) – Sebuah pesawat Boeing 737-500 milik Trigana Air yang membawa 121 penumpang terpaksa membatalkan penerbangannya ke Wamena pada Selasa selepas dakwaan seorang penumpang tentang kebakaran enjin mencetuskan panik di Lapangan Terbang Sentani di Jayapura, Papua.

Insiden itu berlaku sekitar 11.21 pagi waktu tempatan ketika pesawat sedang bergerak ke arah landasan dan api yang kelihatan menyebabkan pengosongan pesawat terpaksa dilakukan.

“Empat penumpang cedera ringan semasa proses pengosongan yang kelam-kabut,” kata Pengurus Perhubungan Pemegang Kepentingan Lapangan terbang, Surya Eka, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kecederaan berlaku apabila seorang penumpang yang cemas melihat api, membuka pintu kecemasan, mencetuskan panik dalam kalangan penumpang lain.

“Ini mendorong orang ramai bergegas keluar ke apron dan melarikan diri dalam keadaan panik,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan lapangan terbang berkata dakwaan kebakaran enjin oleh seorang penumpang adalah tidak benar.

Timbalan Pesuruhjaya Kanan Polis Jayapura, Umar Nasatekay, berkata: “Pramugari terpaksa membuka pintu kecemasan atas desakan penumpang apabila keadaan menjadi tegang.”

Pesawat itu kemudiannya ditarik ke kawasan parkir untuk pemeriksaan lanjut dan dilarang terbang sementara pihak berkuasa menyiasat punca kebakaran enjin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan