DUNIA > BERITA

DUTA MALAYSIA SERAH WATIKAH PELANTIKAN KEPADA PUTIN

06/11/2024 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai adalah antara duta dari 28 negara yang menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Alexander Hall, Istana Grand Kremlin di Moscow pada Selasa.

Penyerahan watikah ini menandakan peranan rasmi Cheong sebagai duta Malaysia ke-16 ke Rusia.

Menurut Agensi Berita Rusia (TASS), majlis ini adalah yang pertama dalam acara seumpamanya yang dijadualkan pada 2024.

Kali terakhir Putin bertemu dengan duta baharu ke Rusia adalah pada 4 Dis 2023, apabila beliau menerima watikah pelantikan daripada 21 diplomat.

Dalam ucapannya, Putin menekankan bahawa Rusia menjalankan dasar luar yang konstruktif dengan mengambil kira kepentingannya serta trend global.

"Rusia adalah peserta aktif dalam hal ehwal antarabangsa. Kami menjalankan dasar luar yang konstruktif yang mengambil kira kepentingan nasional dan trend pembangunan global yang jelas," kata presiden Rusia itu.

Beliau memetik Sidang Kemuncak BRICS yang diadakan baru-baru ini di Kazan sebagai contoh, dengan berkata, "Ia adalah kemuncak kepengerusian Rusia dan peristiwa penting dalam agenda politik global."

Beliau juga berkata bahawa Rusia tidak berhasrat memulakan konfrontasi dan berharap Eropah akan mengambil pendekatan yang rasional dalam kerjasama dengan Moscow.

"Rusia sentiasa komited terhadap kerjasama yang saling menguntungkan, tanpa konfrontasi. Saya percaya bahawa pendekatan yang rasional dan seimbang terhadap kerjasama dengan Rusia akan kembali berlaku," tegas presiden itu ketika berucap kepada para duta, termasuk dari negara yang dianggap tidak mesra terhadap Rusia.

"Dalam lipatan sejarah, hubungan antara negara anda dan Rusia mempunyai asas yang kukuh, melibatkan kerjasama yang saling menguntungkan, pertukaran budaya yang kaya, dan kerjasama dalam menyelesaikan isu antarabangsa dan serantau yang mendesak," kata Putin.

Sebelum pelantikan ini, Cheong merupakan Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Pelbagai Hala di Kementerian Luar Negeri sejak 2021.

Beliau juga pernah berkhidmat di Hungary, Ghana, Hong Kong, China dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan