DUNIA > BERITA

SINGAPURA IKHTIRAF SEMBILAN SEKOLAH PERUBATAN LUAR NEGARA BAHARU MULAI TAHUN DEPAN

11/11/2024 09:12 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dan Majlis Perubatan Singapura (SMC) akan mengiktiraf sembilan lagi sekolah perubatan luar negara dari Australia, Ireland, dan United Kingdom, berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan sekolah perubatan luar negara yang diiktiraf di Singapura kepada 112.

MOH berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada semakan berkala SMC bagi memastikan doktor perubatan yang mendapat latihan di luar negara dan ingin berkhidmat di Singapura menerima latihan yang setaraf dengan graduan tempatan.

“Penambahan ini akan membantu Singapura memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap doktor dengan lebih baik, memandangkan populasi kita semakin tua, walaupun jumlah pelajar yang diterima masuk ke sekolah perubatan tempatan telah meningkat daripada sekitar 400 pelajar pada 2013 kepada lebih 500 pelajar pada 2023,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

MOH berkata pihaknya telah menerima cadangan SMC setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk kedudukan antarabangsa sekolah-sekolah berkenaan, kesesuaian bahasa pengantar dengan amalan tempatan, dan prestasi graduan daripada institusi berkenaan.

“Siswazah daripada sekolah-sekolah perubatan ini, tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk mereka yang telah tamat pengajian sebelum 2025, juga boleh memohon kepada SMC untuk berkhidmat di Singapura, tertakluk kepada pemenuhan keperluan semasa SMC,” katanya.

MOH turut memaklumkan bahawa SMC akan terus menilai doktor perubatan yang mendapat latihan di luar negara dalam tahun-tahun awal mereka melalui rangka kerja penyeliaan untuk memastikan tahap standard amalan perubatan yang tinggi.

Sembilan tambahan baharu ke Jadual Kedua Akta Pendaftaran Perubatan adalah:

Australia:

  • University of Newcastle, School of Medicine and Public Health

Ireland:

  • University College Cork – National University of Ireland, School of Medicine
  • University College Dublin – National University of Ireland, School of Medicine
  • Royal College of Surgeons in Ireland – National University of Ireland, School of Medicine

United Kingdom:

  • The Queen's University of Belfast, School of Medicine, Dentistry and Biomedical Sciences
  • University of Aberdeen, School of Medicine, Medical Sciences and Nutrition
  • University of Leeds, School of Medicine
  • University of Newcastle upon Tyne, Faculty of Medical Sciences
  • University of Warwick, Warwick Medical School

– BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan