DUNIA > BERITA

APEC: MALAYSIA KOMITED TERHADAP TRANSFORMASI DIGITAL UNTUK PERTUMBUHAN EKONOMI

15/11/2024 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Malaysia menegaskan komitmennya terhadap transformasi digital sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, keterhubungan dan inovasi, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC di Lima, Peru pada Khamis, Mohamad mengetengahkan inisiatif digital Malaysia berpandukan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi formal dan global.

“Kami mengiktiraf potensi besar pendigitalan untuk memacu pertumbuhan dan keterangkuman,” kata Mohamad sambil menekankan penjajaran Malaysia dengan Global Digital Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan akses dan peluang digital yang saksama untuk semua.

Mohamad turut berkongsi usaha Malaysia dalam menyokong pengembangan ekonomi gig serta berusaha ke arah peralihan yang lancar daripada struktur ekonomi tidak formal kepada formal.

“Pertumbuhan ekonomi gig adalah elemen penting dalam landskap ekonomi kita, didorong oleh inovasi dan pendigitalan. Namun, peralihan ke arah ekonomi formal akan memberi manfaat besar kepada majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau menegaskan kelebihan formalisasi, seperti proses pendaftaran perniagaan yang diperkemas, mengurangkan halangan bagi perusahaan kecil dan menambah baik akses kepada perkhidmatan kewangan berpatutan, yang dapat mendorong pelaburan kendiri dan pertumbuhan perniagaan.

“Dengan semangat ini, Malaysia menyambut baik “Lima Roadmap” untuk Mempromosikan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global, yang menyediakan asas strategik bagi menyokong peralihan ini,” katanya.

Mohamad turut menekankan kepentingan inisiatif pembinaan kapasiti seperti literasi kewangan dan latihan pengurusan perniagaan untuk membantu pekerja tidak formal memahami dan mengadaptasi amalan perniagaan formal.

Mengenai kesaksamaan jantina, komitmen Malaysia kekal kukuh, mengiktirafnya sebagai penting untuk membina masyarakat yang progresif dan adil.

“Kami memperjuangkan hak asasi ini melalui pembaharuan perundangan, dasar yang disasarkan dan kerjasama dengan masyarakat sivil,” katanya, sambil menggariskan matlamat Malaysia untuk mengintegrasikan penyertaan wanita merentasi semua sektor dan meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja mereka kepada 60 peratus dalam dekad akan datang di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Menteri itu turut menekankan penubuhan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030, bertujuan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan berdaya saing.

Inisiatif ini, bersama dengan Akreditasi Perusahaan Sosial dan insentif cukai, dirancang untuk menyokong pertumbuhan perusahaan sosial dan memupuk kemampanan kewangan, jelasnya.

Mohamad menggesa kerjasama berterusan antara ekonomi APEC untuk menangani kelemahan struktur yang dihadapi wanita dan kumpulan rentan dalam peralihan kepada ekonomi formal.

“Kami percaya ekonomi APEC perlu terus bekerjasama untuk meneroka kaedah mengatasi kelemahan struktur yang dihadapi oleh wanita dan kumpulan rentan lain dalam peralihan ke arah ekonomi formal dan global,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan