BAKU (Azerbaijan), 18 Nov (Bernama-Azertac) -- Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev pada Ahad bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur dan bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Menurut Agensi Berita Azerbaijan (Azertac), Maimunah menyampaikan penghargaan kepada Presiden Ilham Aliyev atas peluang yang diberikan untuk bertindak sebagai datuk bandar Kuala Lumpur dalam status komuniti tempatan di COP29 dan atas penyertaan beliau dalam Jawatankuasa Penasihat yang ditubuhkan di bawah naungan Presidensi COP29 Azerbaijan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Ilham Aliyev atas penganjuran peringkat tinggi COP29.
Sepanjang perbincangan, mereka turut mengiktiraf sumbangan Maimunah dalam membangunkan kerjasama antara Azerbaijan dan UN-HABITAT semasa tempoh beliau mengetuai organisasi itu.
Mereka juga turut menyentuh tentang penganjuran Forum Bandar Sedunia pada 2026 oleh Azerbaijan, antara acara penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan persediaan untuk forum itu telah dimulakan.
Perbincangan turut berkisar mengenai pencapaian Azerbaijan dalam bidang perancangan bandar berdasarkan pembangunan Baku dan bandar-bandar lain di negara itu, pengalamannya dalam membina bandar dan kampung di wilayah yang dibebaskan daripada pendudukan.
Mereka turut membincangkan pertukaran pengalaman untuk memperkukuh kerjasama antara Baku dan Kuala Lumpur dan mewujudkan hubungan antara kedua-dua ibu negara sebagai bandar berkembar.
Mereka menekankan hubungan persahabatan antara Azerbaijan dan Malaysia dan hakikat bahawa kedua-dua negara sentiasa menyokong satu sama lain dalam organisasi antarabangsa. Selaras dengan semangat hubungan politik, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai pengembangan kerjasama dalam sektor ekonomi, perdagangan, kebudayaan, pelancongan dan lain-lain.
-- BERNAMA-AZERTAC
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial