DUNIA > BERITA

PENYOKONG IMRAN KHAN SERBU IBU NEGARA PAKISTAN, TUNTUT PEMBEBASANNYA

26/11/2024 07:07 PM

ISLAMABAD, 26 Nov (Bernama-dpa) -- Sekurang-kurangnya enam anggota pasukan keselamatan terbunuh ketika mereka cuba menghalang ribuan penyokong bekas perdana menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, daripada menyerbu ibu negara Islamabad, kata pihak berkuasa pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Anggota Renjer separa tentera terbunuh selepas sebuah kenderaan merempuh mereka ketika penunjuk perasaan menyerbu ibu negara itu lewat malam Isnin, kata jurucakap polis persekutuan.

Sebelum itu, dua anggota polis terbunuh di kawasan pinggir Islamabad manakala lebih 100 pegawai keselamatan cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan.

Ribuan penunjuk perasaan yang dipimpin oleh isteri Imran bertempur dengan polis antirusuhan, yang menggunakan gas pemedih mata dan baton untuk menyuraikan mereka, kata pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi dalam sidang media lewat malam berkata kerajaan menawarkan tempat alternatif untuk protes mereka. Bagaimanapun, Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran bertegas untuk berhimpun di hadapan bangunan parlimen.

Penunjuk perasaan perlahan-lahan berarak ke destinasi itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada pasukan keselamatan.

Kerajaan mengerahkan ribuan anggota polis, anggota separa tentera dan askar serta mengenakan perintah berkurung tanpa had di ibu negara sejak Sabtu lalu apabila penyokong Imran mengancam untuk membebaskannya secara kekerasan.

Penunjuk perasaan memulakan perarakan dari ibu negeri Khyber-Pakhtunkhwa yang disokong oleh kerajaan wilayah pada Ahad.

Imran dipenjarakan sejak Ogos 2023 dan menghadapi perbicaraan atas dakwaan menghasut keganasan pada 9 Mei tahun yang sama iaitu hari apabila penyokongnya melakukan rusuhan dan menyerang kemudahan ketenteraan.

Beliau menafikan tuduhan itu. Semua sabitan terhadapnya digantung atau dibatalkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan