DUNIA > BERITA

CHINA SASAR KADAR PENEMBUSAN PENGGUNA 5G LEBIH 85 PERATUS MENJELANG AKHIR 2027

26/11/2024 09:45 PM

BEIJING, 26 Nov (Bernama-Xinhua) -- China menyasarkan kadar penembusan pengguna 5G melebihi 85 peratus menjelang akhir 2027, ketika ekonomi kedua terbesar dunia itu mempercepatkan aplikasi 5G berskala besar, lapor Xinhua.

Menjelang tempoh itu, akan terdapat 38 stesen pangkalan 5G bagi setiap 10,000 orang, penggunaan 5G akan merangkumi 75 peratus trafik Internet mudah alih dan jumlah terminal Internet Pelbagai Benda (IoT) yang disambungkan melalui 5G di negara itu dijangka melebihi 100 juta, menurut pelan tindakan yang dirumuskan oleh beberapa jabatan kerajaan.

Sementara itu, kadar penembusan teknologi 5G dalam kalangan firma perindustrian besar dan sederhana diunjurkan mencapai 45 peratus menjelang akhir 2027, menurut pelan berkenaan yang diumumkan pada Isnin.

Pelan itu dirancang untuk mempromosikan pembangunan aplikasi 5G berskala besar, mempercepatkan pembangunan tenaga pengeluaran berkualiti baharu, mempermudah penerapan teknologi maklumat generasi baharu serta memperkukuh daya penggerak baharu bagi pembangunan ekonomi dan sosial yang berkualiti tinggi.

Ia turut bertujuan menggalakkan integrasi dan inovasi teknologi digital, menyokong perindustrian baharu negara serta memodenkan industri maklumat dan komunikasi.

Setakat akhir September tahun ini, jumlah stesen pangkalan 5G di China mencapai kira-kira 4.09 juta. Pada masa yang sama, jumlah pelanggan mudah alih 5G mencatatkan 981 juta, menurut data Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat. Dengan populasi sekitar 1.4 bilion, kadar penembusan pengguna 5G negara itu kini mencecah sekitar 70 peratus.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan