DUNIA > BERITA

CHINA PENYEDIA PELUANG KEPADA PELBAGAI NEGARA - PM SAMOA

02/12/2024 02:52 PM

BEIJING, 2 Dis (Bernama-CMG) -- Menghormati dan mempercayai antara satu sama lain merupakan antara faktor asas yang boleh mengukuhkan perkongsian antara negara, kata Perdana Menteri Samoa Fiame Naomi Mata'afa semasa lawatannya ke China, baru-baru ini.

Beliau berkata pertemuan dengan pemimpin China pada masa ini adalah sangat sesuai, terutamanya menjelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Menurut beliau, pertemuan itu memberi peluang untuk mengenang kembali sejarah hubungan dua negara, menggunakan pengalaman yang ada serta merangka pelan untuk masa depan.

"China menyediakan peluang kepada pelbagai negara. Saya menganggap ini adalah tindakan yang selaras dengan tanggungjawabnya yang memfokuskan situasi keseluruhan dan bersifat universal," kata Fiame kepada wartawan Kumpulan Media China (CMG) di Beijing.

Dalam lawatannya ke China yang berlangsung dari 20 hingga 28 November, Fiame bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping pada 26 November.

Mengulas lanjut Fiame berkata saiz dan kapasiti kedua-dua negara sangat berbeza. China adalah sebuah negara yang besar sedangkan Samoa jauh lebih kecil, dan idea dan konsep masing-masing juga berbeza.

"Kami mempunyai perkongsian yang berkekalan dengan China, dan boleh terus menyelidik dan meneroka potensi dalam bidang yang sudah berhasil, seperti sektor pertanian. Pada masa sekarang, saya fikir kita perlu beralih ke bidang kerjasama yang berasaskan perniagaan yang mempunyai lebih banyak nilai tambah, satu arah perkembangan bagi perkongsian kedua-dua negara kita.

“Selepas menoktahkan fasa belajar dan uji cuba, bagaimana kita boleh terus menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara? Kita perlu memperjuangkan matlamat pembangunan bersama dalam bidang seperti kerjasama perniagaan dan pertukaran perdagangan,” katanya.

Melihat tiga inisiatif global anjuran kerajaan China, Fiame berkata beliau sangat menghargai pendekatan negara itu dalam menangani masalah.

Menurut beliau, apabila menghadapi suatu masalah, China menganggapnya sebagai masalah bersama dan turut mengeluarkan inisiatif untuk membantu pelbagai negara mengatasi cabaran dan mencipta peluang.

Beliau menarik perhatian, mengimport jentera dan peralatan berat dari China merupakan antara projek kerjasama pada masa terdekat.

“Negara kami mempunyai bentuk muka bumi gunung berapi dan tanahnya mengandungi banyak batu. Membersihkan kawasan tanah pertanian yang luas memerlukan jentera berat dalam bilangan besar.

“Oleh itu, kami sedang meneliti cara pengeluaran pertanian yang serasi dengan ekosistem tempatan. Justeru, meningkatkan perdagangan dan nilai tambah produk pertanian juga sudah dijadikan satu keutamaan kami,” tambah beliau.

Untuk rekod, Samoa yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 6 Nov 1975 merupakan antara negara kepulauan Pasifik pertama yang menandatangani memorandum persefahaman dengan China mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan