DUNIA > BERITA

MALAYSIA ANJUR SEMINAR KEWANGAN ISLAM DI NAMIBIA

05/12/2024 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia telah menganjurkan seminar kewangan Islam pada Rabu bagi memenuhi minat yang semakin meningkat dalam kalangan institusi kewangan Namibia untuk memahami kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem perbankan konvensional.

Seminar itu dihadiri kira-kira 30 peserta daripada pelbagai institusi kewangan Namibia, termasuk pegawai daripada Lembaga Penggalakan dan Pembangunan Pelaburan Namibia, Covest Wealth Management, TRUSTCO Bank, Bank Windhoek, Bank BIC Namibia, Persatuan Bank Namibia, First National Bank dan Penasihat Kewangan Namibia.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam satu kenyataan berkata penganjuran acara itu tepat pada masanya kerana ia bertepatan dengan kitaran pilihan raya kelima berturut-turut Namibia yang akan datang, dijangka mencatatkan keputusan luar biasa.

Beliau berkata kepimpinan negara itu sedang mempertimbangkan peralihan daripada pendekatan ekonomi terdahulu kepada penyelesaian yang lebih moden dan pragmatik bagi pelbagai isu ekonominya, sekali gus membuka ruang kepada idea dan konsep baharu.

Rameez berkata menerusi seminar itu, Malaysia berharap dapat menyumbang kepada pemikiran baharu dengan memberikan pandangan mengenai strategi pengurusan kewangan alternatif yang sejajar dengan keutamaan sosioekonomi strategik Namibia.

“Acara ini berfungsi sebagai pelopor dan platform kepada program latihan serta maklumat pelbagai disiplin yang lebih komprehensif dan mendalam mengenai perbankan Islam dan kewangan Islam yang sedang dipertimbangkan untuk tahun hadapan, bergantung kepada maklum balas serta minat yang ditunjukkan oleh komuniti politik dan kewangan Namibia,” katanya.

Antara penceramah dalam seminar itu ialah Pengerusi Waafi Bank Dr Mohd Ashraf Iqbal dan Ketua Pegawai Eksekutif Chartered Institute of Islamic Finance Professionals Dr Azura Othman yang berkongsi kepakaran mereka dalam perbankan Islam.

Rameez berkata terdapat juga permintaan daripada peserta agar pembentang dari Malaysia mengadakan bengkel mendalam mengenai pengetahuan dan pelaksanaan kewangan Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan