BEIJING, 6 Dis (Bernama-CMG) -- China menyambut pelbagai negara di dunia melibatkan diri dalam aktiviti yang diadakan Kumpulan Rakan Kolaborasi Antarabangsa Pembangunan Kemampuan Kecerdasan Buatan (AI), melaksanakan Rancangan Universal Pembangunan Kemampuan AI, menjana impak sosial di persada antarabangsa, memperluas kerjasama, dan mengecilkan jurang perbezaan dalam bidang AI agar mencetuskan momentum kuat bagi pembangunan lestari dalam senario global.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian pada sidang media di sini pada Khamis.
Beliau berkata penubuhan kumpulan berkenaan diwartakan dalam mesyuarat pertamanya yang dianjurkan bersama China dan Zambia di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
Turut hadir, perwakilan dari lebih 80 negara termasuk Mesir, Pakistan, Brazil, Ethiopia, Indonesia, Rusia, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain.
Ini merupakan tindakan lanjut dalam pelaksanaan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tentang pembangunan kemampuan AI dan juga mencerminkan keazaman China untuk mendorong pembangunan AI ke arah yang inklusif dan universal.
Dewasa ini, perkembangan pesat teknologi AI mendatangkan banyak peluang kepada pembangunan sosioekonomi di setiap pelosok dunia. Dalam Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Rio de Janeiro, Brazil tidak lama dahulu, Presiden China Xi Jinping pernah menyeru agar memperhebat tadbir urus dan kolaborasi antarabangsa dalam bidang AI demi kemaslahatan rakyat dan mengamalkan nilai-nilai universal supaya dapat mengelakkannya daripada terjerumus menjadi "permainan untuk negara dan golongan yang kaya".
Pendirian China ini juga merupakan aspirasi bersama "Selatan Global".
Kumpulan Rakan Kolaborasi Antarabangsa Pembangunan Kemampuan AI akan dibina menjadi wahana pertukaran dan kerjasama antarabangsa berdasarkan sokongan PBB, pertubuhan antara kerajaan yang paling berwibawa, relevan dan inklusif di persada dunia.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial