DUNIA > BERITA

UTUSAN KHAS PRESIDEN INDONESIA LETAK JAWATAN SELEPAS HINA PENJUAL TEH AIS

06/12/2024 09:00 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Dis (Bernama) -- Miftah Maulana Habiburrahman, Utusan Khas Presiden Indonesia, meletakkan jawatannya pada Jumaat selepas video yang menunjukkan beliau menghina seorang penjual teh ais bulan lepas tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan yang penuh emosi, beliau yang dikenali sebagai Gus Miftah berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Ini adalah keputusan yang saya buat dengan penuh kesedaran, selepas banyak bermuhasabah. Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan,” katanya di Sleman, Yogyakarta yang disiarkan televisyen tempatan.

Penceramah terkenal itu dilantik pada 22 Oktober sebagai Utusan Khas Presiden bidang Kerukunan Beragama dan Pembinaan Kemudahan Keagamaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto dan memohon maaf kerana tidak memenuhi harapan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Hasan Nasbi dilaporkan berkata: “Kita menghormati keputusan beliau.”

Dalam video yang tular, Gus Miftah mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap penjual itu di hadapan peserta-peserta acara di Magelang, Jawa Tengah, pada 20 November, sekali gus mencetuskan kecaman meluas di media sosial.

Petisyen menyeru pemecatan beliau daripada jawatannya di Change.org mendapat 318,479 tandatangan.

“Terima kasih kepada yang ikut serta menyebar dan menandatangan petisyen. Kita berhasil menyelamatkan adab di negeri ini,” tulis petisyen itu.

Pada Rabu lepas Gus Miftah menziarahi rumah penjual itu di Magelang untuk memohon maaf dan mengakui ditegur oleh Setiausaha Kabinet, Mejar Teddy Indra Wijaya, agar berhati-hati ketika bercakap di khalayak ramai.

Sebaliknya, sejumah individu tampil menghulurkan bantuan kepada penjual teh ais termasuk memberikan wang tunai, tajaan kos umrah dan pendidikan untuk dua orang anaknya yang masih bersekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan