DUNIA > BERITA

AS: BYTEDANCE DIDESAK LEPASKAN PEMILIKAN, TIKTOK RAYU PENANGGUHAN

17/12/2024 04:29 PM


From Voon Miaw Ping

ISTANBUL, 17 Dis (Bernama-AA) -- TikTok memfailkan rayuan kepada Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Isnin untuk menghalang penguatkuasaan undang-undang yang berpotensi menyebabkan aplikasi video pendek itu diharamkan di seluruh negara mulai 19 Jan 2025. 

Langkah ini dibuat selepas mahkamah rayuan persekutuan mengekalkan undang-undang yang menghendaki syarikat induk TikTok, ByteDance melepaskan pemilikannya kerana "kebimbangan keselamatan negara", lapor Agensi Anadolu.

Akta Melindungi Rakyat Amerika Daripada Aplikasi Terkawal Kuasa Asing yang diluluskan pada April tahun ini mencerminkan kebimbangan bahawa TikTok boleh digunakan untuk pengintipan atau propaganda negara asing.

TikTok dalam rayuannya berhujah bahawa undang-undang itu melanggar hak Pindaan Pertama bagi 170 juta pengguna AS.

Syarikat itu turut meminta Mahkamah Agung menangguhkan penguatkuasaan undang-undang sementara kes ini disemak. 

Tempoh rayuan berkenaan amat signifikan ketika Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump, bersiap sedia untuk memegang jawatan pada 20 Jan.

Laporan turut menyebut bahawa Trump bertemu Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, di kelab Mar-a-Lago pada Isnin. 

Trump, yang sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap TikTok, berkata dalam satu taklimat media di Mar-a-Lago bersama Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son: “Kami akan mengkaji TikTok.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan TikTok kerana saya menang undi belia dengan kelebihan 34 mata. Ada yang berkata TikTok mempunyai kaitan dengan itu.” 

-- BERNAMA-AA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan