DUNIA > BERITA

MYANMAR JANJI ADAKAN PILIHAN RAYA PADA 2025 SEMASA KONSULTASI ENAM NEGARA

19/12/2024 08:58 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) --  Menteri Luar Myanmar memaklumkan mesyuarat konsultasi tidak rasmi enam negara bahawa negara itu sedang membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya pada tahun depan, menurut jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura.

Thailand menjadi tuan rumah mesyuarat konsultasi tidak rasmi itu pada Khamis, yang turut dihadiri wakil dari Myanmar, Thailand, China, India, Bangladesh, dan Laos untuk membincangkan krisis berterusan di Myanmar.

Nikorndej berkata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa yang mengetuai perbincangan, menekankan kepentingan mesyuarat itu, yang merupakan kali pertama Myanmar dan kelima-lima negara jirannya berkumpul untuk dialog sedemikian.

“Menteri Luar Myanmar memaklumkan mesyuarat mengenai hala tuju politik negara itu dan perkembangan berkaitan persiapan untuk pilihan raya tahun depan,” kata Nikorndej pada sidang media di sini, pada Khamis.

Mesyuarat itu turut membincangkan isu-isu sempadan yang unik kepada setiap jiran Myanmar, termasuk dadah, penyeludupan, perdagangan senjata, pemerdagangan manusia, dan penipuan dalam talian.

“Semua negara jiran berkongsi kepentingan bersama untuk melihat Myanmar yang aman, stabil, dan bersatu. Mereka bersetuju bahawa semua pihak di Myanmar mesti menghentikan keganasan dan beralih kepada dialog untuk mencapai penyelesaian secara aman,” katanya.

Sebagai respons, Menteri Luar Myanmar berkata negaranya terbuka kepada dialog politik.

“Mesyuarat berlangsung kira-kira dua jam dan mencerminkan keikhlasan serta komitmen tegas semua peserta untuk meningkatkan usaha menangani kebimbangan bersama,” kata Nikorndej.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Penasihat Hal Ehwal Luar Kerajaan Sementara Bangladesh Md Touhid Hossain, Naib Menteri Luar China Sun Weidong, Setiausaha Luar India Vikram Misri, Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Myanmar U Than Swe.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan