Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 22 Dis (Bernama) -- Polis Indonesia menahan 18 anggota yang disyaki memeras ugut warga Malaysia semasa menghadiri konsert Djakarta Warehouse Project (DWP) di Kemayoran, Jakarta Utara.
Ketua Biro Penerangan Awam, Brigadier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andik, mengesahkan anggota berkenaan terdiri daripada Polis Daerah Metro Jaya, Polis Metro Jakarta Pusat, dan Balai Polis Kemayoran.
“Anggota ini telah ditahan oleh Bahagian Profesional dan Keselamatan (Propam) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Penahanan dibuat susulan beberapa aduan daripada warga Malaysia yang mendakwa mereka dianiaya dan diperas sepanjang acara itu tular di media sosial.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku anggota kami,” tegas Trunoyudo, sambil menambah bahawa perkembangan lanjut akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Menurut dakwaan, warga Malaysia itu dipaksa menjalani ujian air kencing, diminta menunjukkan pasport dan diminta membayar sejumlah wang, walaupun keputusan ujian dadah mereka negatif.
Konsert DWP selama tiga hari di Jakarta International Expo yang dianjurkan oleh Ismaya Live, sebahagian daripada Ismaya Group, tamat pada 15 Dis dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di Asia.
Dalam satu kenyataan, pihak penganjur DWP menyatakan kekesalan terhadap cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terjejas, sambil mengakui bahawa walaupun sesetengah isu berada di luar kawalan mereka, mereka memahami kesannya.
DWP juga memberi jaminan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan kerajaan yang berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.
Insiden berkenaan turut menarik perhatian Ketua Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Habiburokhman, yang menyuarakan keyakinan bahawa Propam akan menangani dakwaan pemerasan itu secara adil.
“Jika pemerasan berlaku, mereka yang terlibat mesti dihukum,” katanya.
Suruhanjaya Polis Nasional (Kompolnas) turut menyeru tindakan tegas terhadap anggota yang terlibat, termasuk perbicaraan etika dan hukuman jenayah jika kesalahan terbukti.
“Jika melibatkan jenayah, mereka mesti diadili. Kami menyokong siasatan Propam,” kata Komisioner Muhammad Choirul Anam, seperti yang dilaporkan portal berita Kumparan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial