SHANGHAI, 23 Dis (Bernama-CMG) -- Dermaga Yangshan kendalian Pelabuhan Shanghai telah mengendalikan kontena sebanyak 50 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024, sekali gus menjadi dermaga kontena pertama yang mencecah paras itu di persada dunia.
Pelabuhan Shanghai dengan 350 laluan pelayaran antarabangsa yang menghubungkan lebih 700 pelabuhan dari 200 buah negara dan rantau, berada di tangga ketiga teratas dalam ranking global hab pengangkutan laut untuk lima tahun berturut-turut.
Setiap lonjakan besar dalam perkembangan pelabuhan dalam senario global tidak terlepas daripada penggunaan teknologi pintar dan mesra alam.
Pengoperasian dermaga Yangshan dalam fasa keempat berdasarkan teknologi automatik, bukan sahaja kondusif bagi peningkatan kapasiti pengendalian kontena di Pelabuhan Shanghai, tetapi juga merupakan satu pakej penyelesaian tentang pembinaan dermaga pintar yang "bercirikan China" yang boleh diteladani di persada dunia.
"Hasil yang dibuahkan dalam pelaksanaan projek penyelidikan dan penggunaan teknologi kritikal dermaga kontena automatik Yangshan fasa keempat telah diperkenalkan kepada 14 dermaga di dalam dan luar negeri," kata Pengurus Besar Teknologi Nezha Korporat Pelabuhan Shanghai, Huang Heng.
Sementara itu, pengisian semula gas asli cecair (LNG) kini menjadi rutin di Pelabuhan Shanghai yang juga pernah melaksanakan pengisian bahan bakar metanol yang bersifat mesra alam dari kapal ke kapal.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial