DUNIA > BERITA

PRESIDEN YOON ENGGAN BERI KETERANGAN

15/01/2025 04:51 PM

SEOUL, 15 Jan (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dilaporkan enggan memberi keterangan semasa sesi soal siasat pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.  

Penahanan Yoon berlaku selepas beberapa peristiwa dramatik ketika beliau mengabaikan pelbagai permintaan pihak berkuasa untuk hadir, sehingga membawa kepada penahanannya atas tuduhan mengetuai pemberontakan.  

Tuduhan itu mengenepikan kekebalan presiden daripada pendakwaan, sekali gus mencetuskan peningkatan ketara krisis politik susulan percubaannya untuk menguatkuasakan undang-undang tentera pada Disember lalu.

Tarikh 15 Jan menandakan 43 hari sejak cadangan undang-undang tentera Yoon mencetuskan kekacauan politik.

Kegagalannya mematuhi tiga arahan untuk hadir bagi siasatan lanjut hanya meningkatkan konfrontasi dengan pihak berkuasa.  

Awal bulan ini, cubaan pertama untuk menahan Yoon digagalkan selepas berlakunya konfrontasi selama berjam-jam dengan Pasukan Keselamatan Presiden pada 3 Jan.

Pada 11 pagi Rabu, Yoon dibawa ke Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) di Gwacheon untuk disoal siasat, namun beliau enggan memberi keterangan semasa sesi terbabit.  

CIO mempunyai masa 48 jam untuk memutuskan sama ada memohon waran tangkap daripada mahkamah terhadap Yoon.  

Dalam mesej video yang dirakam lebih awal, Yoon menyuarakan kebimbangan mengenai runtuhnya kedaulatan undang-undang di negara itu, sambil berkata beliau bersetuju untuk hadir bagi mengelak konfrontasi ganas antara pasukan keselamatannya dan pihak berkuasa.  

“Walaupun ini adalah siasatan yang tidak sah, saya memutuskan untuk patuh demi mengelakkan pertumpahan darah yang tidak diingini,” katanya.  

Pasukan guaman Yoon mencabar kesahihan waran tangkap itu, dengan mendakwa ia dikeluarkan oleh mahkamah yang tidak mempunyai bidang kuasa yang tepat dan mempertikaikan kuasa sah pasukan penyiasat.  

-- BERNAMA-YONHAP  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan