DUNIA > BERITA

OIC KECAM PENINGKATAN SERANGAN ISRAEL DI TEBING BARAT

23/01/2025 09:50 PM

JEDDAH, 23 Jan (Bernama-SPA) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan jenayah yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel di Tebing Barat, khususnya di Jenin dan kem pelariannya, lapor Saudi Press Agency (SPA).

OIC menyatakan bahawa tindakan Israel telah mengakibatkan 10 syahid, kecederaan kepada berpuluh-puluh orang awam dan kemusnahan jalan raya dan infrastruktur.

Ia juga mengecam penubuhan pusat pemeriksaan tentera dan pintu besi untuk mengasingkan bandar dan kampung Palestin, menganggap tindakan itu sebagai sebahagian daripada corak jenayah perang yang lebih luas terhadap rakyat Palestin.

OIC memberi amaran terhadap jenayah berterusan yang dilakukan oleh kumpulan peneroka ekstremis, yang beroperasi dengan perlindungan pasukan pendudukan Israel. Serangan terbaru menyasarkan beberapa perkampungan Palestin, apabila harta benda, rumah, kenderaan dan tanah pertanian dibakar.

Ia menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab secara langsung atas jenayah berat ini dan menekankan keperluan untuk akauntabiliti di bawah undang-undang jenayah antarabangsa.

OIC memperbaharui gesaannya agar masyarakat antarabangsa memenuhi tanggungjawabnya, menamatkan keganasan Israel yang berterusan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki dan memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan