Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN merupakan peluang penting untuk memperkukuh relevansi dan kepusatan blok serantau itu dalam dunia yang semakin kompetitif dan multipolar.
Pengarah Institut Kajian Dasar Luar dan Strategik Vietnam, Trinh Minh Manh berkata kepimpinan Malaysia bukan sahaja penting untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran serantau tetapi juga bagi memastikan ASEAN kekal signifikan di peringkat global.
“Kita melihat pelbagai perkembangan di rantau ini dan dunia, khususnya persaingan kuasa besar yang semakin meningkat, termasuk konfrontasi. Terdapat juga mekanisme pelbagai hala yang bersaing seperti Quad dan AUKUS. ASEAN sering kali teruji oleh dinamik ini,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual telefon dari Hanoi.
Beliau menekankan bahawa keupayaan ASEAN untuk kekal berkecuali sambil mengadakan libat urus dengan kuasa besar secara konstruktif adalah penting bagi kestabilan serantau.
“ASEAN mesti menunjukkan nilainya sebagai kuasa pengantara, mempengaruhi dialog dan menggalakkan kerjasama dengan rakan luar untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Menurut Trinh, satu keutamaan Malaysia adalah memastikan ASEAN kekal relevan dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan dalam dasar luar Amerika Syarikat, yang mungkin kurang memberi tumpuan kepada multilateralisme berbanding sebelumnya.
“Respons yang proaktif dan tepat pada masanya terhadap insiden serantau dan global, menggalakkan dialog untuk meredakan ketegangan, dan mempromosikan ASEAN sebagai perantara adalah amat penting,” katanya.
Trinh berkata ASEAN turut berdepan cabaran mendesak, termasuk situasi di Myanmar dan Laut China Selatan, perubahan iklim, serta peralihan ekonomi yang didorong oleh penjajaran semula rantaian bekalan global dan penyahgandingan ekonomi kuasa besar.
Beliau menegaskan kepentingan penyelesaian secara aman pertikaian di Laut China Selatan, dengan menyeru kerjasama lebih erat antara negara penuntut seperti Malaysia dan Vietnam untuk mencegah insiden yang boleh menggugat kestabilan rantau ini.
Malaysia dan Vietnam perlu bekerjasama dengan anggota ASEAN lain serta China untuk mempercepat rundingan Kod Tatalaku (CoC) dan memastikan pelaksanaan efektif Deklarasi Tatalaku (DoC) sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, katanya.
Dari segi ekonomi, Trinh berkata keutamaan pengerusi adalah memperkukuh integrasi ekonomi dalaman sambil mengenal pasti pemacu pertumbuhan baharu untuk rantau ini, termasuk dalam bidang seperti transformasi digital, pertumbuhan grid, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi kuantum.
“Kepimpinan Malaysia adalah kritikal untuk memastikan hala tuju masa depan ASEAN memberi manfaat kepada pembangunan komuniti kita sendiri serta kestabilan dan kemajuan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Tahun ini menandakan pencapaian penting bagi ASEAN apabila kepengerusian Malaysia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN 2025.
ASEAN dengan populasi hampir 680 juta orang dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$3.8 trilion, dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
“Tahun ini amat penting untuk ASEAN. Saya menjangkakan Malaysia akan melaksanakan banyak inisiatif dan tindakan untuk memimpin ASEAN ke hadapan, meletakkan asas untuk 20 tahun akan datang dalam merealisasikan Wawasan 2045, seperti yang dilakukan 10 tahun lepas ketika mengetuai blok ini dalam menerima pakai Komuniti ASEAN 2025,” kata Trinh.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi untuk membimbing blok berusia 58 tahun itu ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik, dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial