DUNIA > BERITA

PEMIMPIN AFRIKA TIMUR BINCANG SITUASI DI CONGO, PEMBERONTAK DAKWA KUASAI GOMA

27/01/2025 08:07 PM

NAIROBI (Kenya), 27 Jan (Bernama-AA) -- Presiden Kenya William Ruto yang juga Pengerusi Komuniti Afrika Timur berkata blok itu akan mengadakan sidang kemuncak luar biasa dalam tempoh 48 jam bagi menangani konflik yang semakin meruncing di Republik Demokratik Congo selepas kumpulan pemberontak M23 mendakwa telah menawan bandar timur Goma pada awal pagi Isnin.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa Ruto mengesahkan beliau telah mengadakan perbincangan pada Ahad dengan Presiden Congo Felix Tshisekedi dan Presiden Rwanda Paul Kagame, yang kedua-duanya bersetuju untuk menghadiri sidang kemuncak itu.

Menurut kenyataan pejabat presiden Kenya, Ruto melahirkan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot di rantau itu, yang dicirikan oleh pertempuran berterusan dan krisis kemanusiaan yang teruk.

Beliau berkata konflik di Congo menyaksikan peningkatan tindakan ketenteraan dan penutupan ruang udara Goma, yang memburukkan lagi keadaan penduduk yang terjejas.

Secara berasingan, kumpulan pemberontak M23 mendakwa telah menawan Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara, selepas pertempuran sengit di timur Congo yang menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Kami menggesa semua penduduk Goma untuk bertenang. Pembebasan bandar ini telah berjaya dilaksanakan, dan keadaan kini terkawal,” kata jurucakap kumpulan itu, Lawrence Kanyuka, dalam satu kenyataan.

Tiada pengesahan segera daripada kerajaan di ibu negara Congo, Kinshasa.

Presiden Kenya itu berkata Afrika Timur mempunyai tanggungjawab serantau untuk mengurangkan keganasan, sambil menegaskan: “Kenya percaya penyelesaian mampan hanya dapat dicapai melalui penglibatan, dialog konstruktif dan komitmen baharu terhadap keamanan.”

Ruto turut menyeru penglibatan lebih besar daripada Kesatuan Afrika (AU), blok Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan rakan antarabangsa.

“Kesatuan Afrika tidak boleh kekal pasif dalam menghadapi krisis yang semakin meruncing ini,” katanya sambil mengulangi kesediaan blok Afrika Timur untuk bekerjasama dengan pemain serantau dan global.

Congo memutuskan hubungan diplomatik dengan Rwanda pada Ahad apabila peningkatan ketegangan baru-baru ini menyebabkan sekurang-kurangnya 13 anggota pengaman dan tentera asing terbunuh serta ribuan penduduk menjadi pelarian.

Kumpulan pemberontak M23, yang didakwa mendapat sokongan Rwanda, telah meningkatkan serangan di timur Congo yang bermula pada 2022. Gabenor Kivu Utara, Jeneral Peter Cirimwami, terbunuh di medan perang pada Jumaat.

Rwanda pada Ahad menyatakan ia komited untuk mencari penyelesaian politik terhadap konflik itu.

Sementara itu, jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Matthew Saltmarsh pada Jumaat memaklumkan satu taklimat PBB di Geneva bahawa jumlah orang yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran meningkat kepada lebih 400,000 pada 2025 sahaja.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan