DUNIA > BERITA

PERTEMPURAN RAGUT 25 NYAWA DI TIMUR REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO

28/01/2025 06:22 PM

KINSHASA, 28 Jan (Bernama-AA) -- Lebih dua dozen orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera dalam pertempuran antara pemberontak M23 dan pasukan kerajaan di timur Republik Demokratik Congo, menurut penduduk tempatan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Anggota masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di Goma, ibu negeri wilayah Kivu Utara, berkata pertempuran sejak Isnin mengorbankan kira-kira 25 orang dan mencederakan 375 yang lain.

Anadolu tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban itu, manakala kerajaan yang berpangkalan di ibu kota Kinshasa lewat Isnin berkata ia "sedang berusaha mengelakkan sebarang pembunuhan besar-besaran."

Kerajaan mendakwa tentera Rwanda hadir di Goma dan berikrar untuk mengawal bandar itu, yang menyaksikan ribuan orang kehilangan tempat tinggal akibat serangan pemberontak.

Penduduk tempatan melaporkan bahawa Pelabuhan Awam Goma diserang oleh M23 manakala lapangan terbang wilayah Goma masih dikuasai tentera Congo.

Mereka juga mendakwa bandar Goma berada di bawah kawalan pemberontak dan pasukan kerajaan.

Pada Isnin, pemberontak M23, yang didakwa disokong Kigali, mengaku telah menguasai Goma, manakala Kinshasa mendakwa kehadiran tentera Rwanda di bandar itu.

Walaupun Kigali menafikan menyokong pemberontak, pegawai di Rwanda mendakwa lima warganya turut terbunuh akibat tembakan rentas sempadan dari Congo.

Tentera Rwanda juga mendakwa lebih 120 askar Congo telah dilucutkan senjata berhampiran Gisemyi, Rwanda, ketika pertempuran dengan pemberontak M23.

Kinshasa menegaskan bahawa Goma “tidak sepenuhnya jatuh ke tangan pemberontak.”

Pemantau Internet NetBlocks melaporkan lewat Isnin bahawa terdapat gangguan berterusan terhadap sambungan di pertukaran Internet Goma.

Menurut badan pemantau hak Save The Children, sebahagian besar kawasan di Goma "telah terputus bekalan air dan elektrik sejak Jumaat, dan ibu bapa tidak mempunyai makanan atau air bersih untuk anak-anak mereka."

"Penduduk cuba melarikan diri tetapi tidak tahu ke mana hendak pergi," menurut kenyataan itu.

Goma menempatkan kira-kira 3 juta penduduk, termasuk 1 juta pelarian. Save The Children menganggarkan lebih separuh daripada penduduk -- atau lebih 1.5 juta -- adalah kanak-kanak.

Organisasi itu berkata kanak-kanak terkesan dengan kekacauan di dalam dan luar Goma, dengan empat kanak-kanak cedera akibat bahan letupan di bandar Minova minggu lalu dan seorang bayi cedera dalam serangan ke atas sebuah hospital di Goma pada Isnin.

“Keadaan sangat mengelirukan, kompleks dan mengerikan. Tiada tempat selamat untuk dituju dari Goma. Setiap kali keluarga melarikan diri dari senjata dan bom ke tempat yang dianggap selamat, mereka terpaksa berpindah lagi,” kata Greg Ramm, ketua negara Save The Children.

Sekurang-kurangnya 13 pasukan pengaman dari pasukan serantau Komuniti Pembangunan Afrika Selatan dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo terbunuh sejak serangan baharu oleh pemberontak M23 minggu lalu.

Congo dan pihak lain menuduh negara jiran Rwanda menyokong kumpulan itu. Namun, Rwanda menafikan tuduhan tersebut.

M23 mendakwa ia mempertahankan kepentingan masyarakat minoriti Tutsi Congo, yang mendakwa mereka didiskriminasi kerana hubungan etnik mereka dengan komuniti Tutsi di Rwanda.

-- BERNAMA-AA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan