DUNIA > BERITA

TRUMP TANDATANGANI PERINTAH EKSEKUTIF SEKAT MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

07/02/2025 05:29 PM

WASHINGTON, 7 Feb (Bernama-AA) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menandatangani perintah eksekutif bagi mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu atas jenayah perang di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Dalam perintah itu, Trump mendakwa mahkamah antarabangsa berkenaan melakukan "tindakan tidak sah dan tidak berasas" yang menyasarkan AS dan sekutu rapatnya, Israel.

Beliau berpendapat tindakan ICC terhadap Israel dan AS menetapkan duluan berbahaya yang boleh menyebabkan anggota keselamatan AS terdedah kepada gangguan, penyalahgunaan kuasa dan penahanan.

“Tindakan   ini boleh menjejaskan kedaulatan Amerika Syarikat serta menjejaskan kerja penting dalam bidang keselamatan negara dan dasar luar AS serta sekutu kami, termasuk Israel,” katanya.

Menurut perintah itu, AS boleh mengenakan sekatan berat terhadap pegawai ICC, termasuk pembekuan aset serta larangan masuk terhadap mereka dan keluarga atas alasan kepentingan negara.

Setelah Trump mengangkat sumpah sebagai presiden pada Januari lepas, Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan sekatan terhadap ICC, namun Senat tidak meluluskannya pada 28 Jan.

Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berdepan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah berpangkalan di The Hague itu pada November tahun lepas atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangan ketenteraannya ke atas wilayah berkenaan.

Trump menegaskan ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atas AS atau Israel kerana kedua-dua negara bukan pihak kepada Statut Rom atau ahli mahkamah itu.

"Kedua-dua negara tidak pernah mengiktiraf bidang kuasa ICC, dan kedua-duanya adalah negara demokrasi yang berkembang pesat. " katanya.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan