Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, khususnya di Jawa Timur, dengan memperluas kerjasama di pelbagai peringkat, termasuk hubungan kerajaan, sektor perniagaan, dan masyarakat.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor terpilih, Khofifah Indar Parawansa dalam lawatan ke Surabaya, provinsi Jawa Timur, minggu lepas.
"Kami komited untuk memperdalam kerjasama di peringkat provinsi, terutamanya setelah pelantikan Khofifah sebagai Gabenor kelak," katanya kepada Bernama.
Syed Mohamad Hasrin mengucapkan tahniah kepada Khofifah atas kemenangannya dalam pemilihan gabenor 2024 dan menyatakan kesungguhan untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Jawa Timur.
Khofifah, terkenal sebagai pemimpin berkarisma, mempunyai kerjaya yang panjang dalam pemerintahan, termasuk pernah menjadi Menteri Pemberdayaan Wanita, Menteri Hal Ehwal Sosial dan aktif dalam organisasi Islam berpengaruh di Indonesia, Nahdlatul Ulama.
Beliau berkata pelantikan Khofifah sebagai Gabenor Jawa Timur, dijadualkan pada 20 Feb nanti, akan menjadi detik penting dalam mempertingkatkan kerjasama dua hala.
Dalam lawatan itu, Syed Mohamad Hasrin turut mengetengahkan fokus Malaysia untuk meninjau peluang peningkatan pelaburan di Jawa Timur.
Pada 2024, Malaysia telah melabur sebanyak US$48 juta di Jawa Timur terutamanya dalam sektor minyak dan gas, telekomunikasi dan perbankan.
Beliau memuji Jawa Timur kerana memiliki kekayaan sumber alam, taraf infrastruktur, dan lokasi strategik, yang mampu menyumbang kepada daya saing provinsi ini di pasaran global.
Selain bertemu dengan Khofifah, Syed Mohamad Hasrin juga bertemu dengan Rais 'Aam Nahdlatul Ulama, KH Miftachul Akhyar, untuk memperkukuh hubungan dengan organisasi Islam, yang mempunyai lebih 80 juta ahli.
Beliau juga melawat pelabuhan kedua terbesar di Indonesia, Pelabuhan Tanjung Perak dan turut berbincang dengan Ketua Pejabat Pemantauan dan Perkhidmatan Kastam dan Cukai, Dwijanto Wahjudi mengenai peningkatan kerjasama dengan Pejabat Penasihat Kastam Kedutaan Malaysia.
Untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia di bidang pertahanan, Syed Mohamad Hasrin melakukan kunjungan ke Komando Armada II Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut di Dermaga Ujung.
Perbincangan dengan Laksamana Pertama Eriyawan tertumpu kepada kerjasama keselamatan maritim, rondaan bersama, dan kerjasama strategik, termasuk pertukaran maklumat serta latihan bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia terutamanya dalam rangka kerjasama mekanisme dua hala Jawatankuasa Am Sempadan kedua negara.
Lawatan itu diakhiri dengan penghormatan kepada 53 kru kapal selam KRI Nanggala-402 yang terkorban dalam kemalangan semasa latihan di Laut Bali pada April 2021.
Beliau juga melakukan lawatan ke PT PAL Indonesia untuk meninjau kepakaran syarikat itu dalam industri pembinaan kapal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial