DUNIA > BERITA

SHEIKH EKRIMA PUJI PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA DALAM ISU PALESTIN, MASJID AL-AQSA

18/02/2025 05:10 PM

Oleh Noor Azuki Fahme Ismail

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri memuji perpaduan rakyat Malaysia dan pendirian teguh mereka dalam menyokong perjuangan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Dr Ekrima yang kini dalam rangka lawatan ke Malaysia berkata ini dapat dilihat melalui solidariti padu yang diketengahkan melalui boikot termasuk dari segi ekonomi, yang menjadi bukti keikhlasan pendirian rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia juga merupakan antara masyarakat Islam yang paling setia dan berpegang teguh dalam memperjuangkan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

Saya berterima kasih kepada semua”, katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan yang dihantar melalui WhatsApp.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaannya kepada Kerajaan Malaysia dan memuji pendirian berprinsip dan positif dalam menyokong Palestin, terutamanya pendirian dalam menolak pendudukan Israel.

Tegasnya isu Masjidil Aqsa adalah tanggungjawab semua, bukan rakyat Palestin sahaja.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata lawatan Dr Ekrima ke Malaysia adalah untuk memenuhi undangan majlis ilmu.

“Sheikh Dr Ekrima, mantan Mufti Besar Palestin, bukan sekadar seorang yang alim, tetapi seorang pejuang, tetap teguh mempertahankan tanah Palestin”.

“Semoga Allah memelihara Al-Aqsa, mengangkat derita saudara kita, dan mengurniakan mereka bahagia”, kata Na’im dalam satu hantaran di Facebooknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan