DUNIA > BERITA

JEPUN UTAMAKAN SOKONGAN TERHADAP INTEGRASI ASEAN

28/02/2025 05:28 PM

(pembetulan pada nama menteri luar jepun pada perenggan pertama)

 

TOKYO, 28 Feb (Bernama-VNA) -- Jepun komited menyokong integrasi ASEAN dan terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara anggota ASEAN sebagai keutamaan utama, kata Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya. 

Iwaya menerusi mesej video sempena Forum Masa Depan ASEAN 2025 yang diadakan di Hanoi pada 25 dan 26 Feb, berkata Jepun berhasrat memperkukuh kerjasama dengan ASEAN pada skala global,  lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).  

Beliau berkata, apabila perpecahan dan konflik dalam mayarakat antarabangsa semakin meruncing serta persekitaran keselamatan menjadi lebih mencabar, peranan ASEAN sebagai “batu asas” Indo-Pasifik menjadi semakin penting untuk keamanan dan kemakmuran di seluruh rantau. 

Jepun juga ingin membina masa depan yang dinamik bersama ASEAN dengan mempromosikan kerjasama dalam bidang baharu seperti pembangunan hijau (GX) dan transformasi digital (DX). 

Selain itu, Jepun akan terus mempergiat kerjasama konkrit di bawah platform Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), katanya. 

Iwaya turut menekankan kepentingan mempertahankan kebebasan, kedaulatan undang-undang serta menghormati kepelbagaian, keterangkuman dan keterbukaan, terutama ketika komuniti antarabangsa menghadapi gangguan besar. 

Jepun merupakan rakan pertama ASEAN yang menyatakan sokongan penuh terhadap Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP). 

Beliau berkata, Jepun sangat teruja kerana AOIP berkongsi prinsip asas seperti keterbukaan, ketelusan, keterangkuman serta rangka kerja berasaskan peraturan dengan Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) yang diperjuangkan negara itu. 

Jepun akan terus bekerjasama rapat dengan ASEAN untuk menyokong pemerkasaan AOIP. 

Iwaya turut menegaskan bahawa peranan ASEAN yang berkembang sebagai pusat pertumbuhan dunia amat penting bukan sahaja dalam menangani isu serantau tetapi juga cabaran global demi keamanan dan kestabilan dunia. 

-- BERNAMA-VNA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan