DUNIA > BERITA

KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA SUNTIK HARAPAN BAHARU USAHA DAMAI SELATAN THAI

27/02/2025 04:13 PM

PATTANI, 27 Feb (Bernama) -- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, membawa harapan dan nafas baharu dalam usaha menamatkan konflik berdarah di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat yang telah berlarutan sejak lebih dua dekad lepas.

Pengarah Pusat Pemantauan Situasi Selatan Thailand, Srisompob Jitpiromsri menyatakan keyakinan bahawa Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik itu menerusi kerangka ASEAN.

"Rundingan damai perlu melibatkan persetujuan bersama dan tindakan yang jelas untuk menyelesaikan masalah, berpandukan undang-undang antarabangsa," katanya dalam ucapan pada perhimpunan kedamaian di Selatan Thailand pada Rabu.

Semalam, 44 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan kedamaian bertemakan "Bersatu untuk Kedamaian" di Pattani, yang dihadiri lebih 1,000 peserta daripada pelbagai NGO dari selatan Thailand dan Bangkok.

Perhimpunan itu diadakan sempena memperingati genap 12 tahun sejak proses rundingan damai selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan gerakan Barisan Revolusi Nasional Patani (BRN), dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator, bermula.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menekankan peranan masyarakat sivil dan konsep Malaysia MADANI sebagai pemangkin dalam usaha memulihkan keamanan di selatan Thailand.

"Saya setuju dengan pandangan rakyat tempatan bahawa usaha menggerakkan kedamaian mestilah menjadi agenda rakyat, bukan hanya menunggu kerajaan.

“Malaysia sedia membantu memperkukuh hubungan rakyat ke rakyat, dan saya yakin Datuk Seri Anwar dapat memperkasakan usaha ini," katanya.

Pada Ahad lalu, mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang juga penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN, mengadakan lawatan kerja sehari ke tiga wilayah selatan Thailand untuk meninjau sendiri situasi serta mendengar suara rakyat di wilayah tersebut.

Lawatan itu susulan pertemuan antara Thaksin dan Anwar baru-baru ini, yang bertujuan mencari jalan damai bagi konflik di wilayah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan