DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN TEGASKAN SEMULA KADAR TARIF HAMPIR SIFAR KE ATAS IMPORT AS DI BAWAH FTA

05/03/2025 06:56 PM

SEOUL, 5 Mac (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan pada Rabu menegaskan semula bahawa kadar tarif purata ke atas import dari Amerika Syarikat (AS) kekal di bawah satu peratus di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala, dengan pengurangan lanjut dijangka tahun ini.  

Menurut agensi berita Yonhap, Seoul sebelum ini melaporkan bahawa tarif purata ke atas barangan AS adalah 0.79 peratus pada 2023, dengan menyatakan bahawa kadar itu lebih rendah apabila bayaran balik diambil kira.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan Presiden AS Donald Trump bahawa kadar tarif purata Korea Selatan adalah empat kali lebih tinggi berbanding AS, dengan mendakwa layanan tidak adil.

Seorang pegawai Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga menolak dakwaan Trump sebagai "tidak benar," sambil menegaskan bahawa Korea Selatan akan menangani perkara itu melalui saluran diplomatik, termasuk Kedutaan AS di Seoul.  

"Trump dipercayai merujuk kepada kadar tarif negara paling digemari (MFN) Korea Selatan, iaitu 13.4 peratus -- kira-kira empat kali ganda kadar tarif MFN sebanyak 3.3 peratus yang dikenakan oleh AS," jelas pegawai itu.  

Bagaimanapun, di bawah FTA Korea Selatan-AS, kebanyakan eksport AS ke Korea Selatan adalah bebas tarif.  

Kementerian itu mengesahkan bahawa kadar tarif purata 0.79 peratus akan terus menurun tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pengurangan perjanjian berkenaan.  

"Kami akan menjelaskan bahawa Korea Selatan mengenakan tarif hampir sifar ke atas barangan AS bagi mengelakkan salah faham dengan mengadakan libat urus dengan Washington melalui pelbagai saluran, termasuk kedutaan kami dan badan perundingan peringkat kerja yang baru ditubuhkan," menurut kementerian itu.  

-- BERNAMA-YONHAP  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan