DUNIA > BERITA

SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN: 25 RAKYAT MALAYSIA DIHANTAR PULANG SELEPAS DISELAMATKAN DI MYANMAR

11/03/2025 04:25 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 11 Mac (Bernama) -- Seramai 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dibawa pulang melalui Mae Sot, Wilayah Tak, utara Thailand.

Kuasa Usaha Malaysia ke Myanmar, Johan Ariff Abdul Razak memaklumkan bahawa kesemua mangsa diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada Kedutaan Malaysia melalui pihak berkuasa Thailand sekitar 10 pagi.

"Seramai 23 lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 47 tahun, telah dipindahkan melalui jalan darat dan dijangka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam esok (12 Mac)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata bahawa kumpulan itu bertolak dari Mae Sot sekitar 2 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, Johan yang turut membantu Kedutaan Malaysia di Thailand dalam pengesahan identiti mangsa, memaklumkan seorang rakyat Malaysia yang memasuki Myanmar secara sah akan pulang secara berasingan.

"Pihak berkuasa Myanmar memaklumkan bahawa seorang daripada mereka memasuki negara itu secara sah.

“Oleh itu, pengaturan khas mengikut undang-undang akan dibuat bagi penghantaran pulangnya ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata pegawai kedutaan di Bangkok telah membantu semua mangsa menghubungi keluarga mereka di Malaysia serta mengeluarkan dokumen perjalanan sementara.

Pegawai kedutaan di Bangkok juga akan menemani kesemua mangsa sepanjang perjalanan dari Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam, yang dijangka mengambil masa lebih 20 jam, katanya.

Pada 6 Mac lalu, Kementerian Luar Thailand mengumumkan rancangan untuk membawa pulang 1,500 orang yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar setiap minggu.

Bulan lalu, seramai 15 rakyat Malaysia adalah antara 260 warga asing yang diselamatkan daripada sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar.

Mereka berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 24 Feb dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan