Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 17 Mac (Bernama) -- Armenian Street Party yang berlangsung hujung minggu lalu di Muzium Peranakan dan kawasan sekitarnya meraikan kepelbagaian warisan budaya tidak ketara komuniti Peranakan, merangkumi seni, budaya, fesyen dan kulinari.
Pengurus Muzium Peranakan (Audiens) Deborah Lim berkata festival tahunan anjuran muzium itu menghidupkan lebih banyak elemen budaya daripada sekadar pameran dalam galerinya, dengan persembahan muzik secara langsung, sesi penataan fesyen dan demonstrasi masakan.
Menurutnya, bagi setiap edisi festival, muzium itu bekerjasama erat dengan pelbagai komuniti dan rakan kongsi Peranakan di Singapura bagi mencipta pengalaman yang bermakna untuk semua pengunjung.
Bertemakan Peranakan Stars tahun ini, festival itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Peranakan Singapura (TPAS), Persatuan Peranakan India (PIA) dan Arab Network @ Singapore.
“Muzium Peranakan menyusun pelbagai program dan acara dengan rakan kongsi kami bagi memastikan ada sesuatu yang menarik untuk semua lapisan pengunjung. Kami mahu membawa mereka lebih dekat dengan komuniti ini serta memperluas pemahaman orang ramai mengenai warisan dan budaya Peranakan,” katanya kepada Bernama.
Lim berkata antara tarikan utama ialah pemasangan seni luar Enduring Blessings oleh artis visual tempatan, Ashley Yeo, yang akan dipamerkan di pintu masuk muzium sehingga 31 Mac.
“Direka dengan rundingan kreatif bersama pembuat kebaya veteran, Raymond Wong dari Rumah Kim Choo dan Steward of Intangible Cultural Heritage, karya ini mencerminkan penghargaan mendalam beliau (Yeo) terhadap seni Peranakan dan diinspirasikan daripada tekstil serta perabot Peranakan,” katanya.
Muzium Peranakan turut bekerjasama dengan rangkaian media nasional Mediacorp bagi pelancaran Emerald Hill - The Little Nyonya Story, kesinambungan daripada siri TV terkenal The Little Nyonya yang kini turut boleh ditonton di Netflix.
Mediacorp juga telah menyumbangkan empat set kebaya sarung beserta aksesori yang dipakai oleh para pelakon kepada Muzium Peranakan, yang kini dipamerkan di galeri fesyen muzium itu.
Lim berkata galeri tetap Muzium Peranakan yang merangkumi tiga tingkat di Armenian Street menampilkan kehidupan Peranakan menerusi tema berkaitan asal-usul, kediaman dan gaya sebagai aspek identiti.
Selepas dibuka semula pada 2023 susulan hampir empat tahun kerja pengubahsuaian, pendekatan kuratorialnya diperluaskan bagi merangkumi ekspresi kontemporari budaya Peranakan menerusi seni, fesyen, reka bentuk dan kraf hasil ciptaan artis, artisan dan pereka tempatan serta serantau.
“Kami juga telah menggabungkan beberapa medium digital sebagai cara baharu untuk berinteraksi dengan audiens masa kini, seperti peta interaktif, perbualan dalam bahasa Baba-Melayu, serta demonstrasi dan wawancara dalam bentuk video,” tambahnya.
Mengenai komuniti, beliau berkata Peranakan di Singapura mencerminkan sejarah negara itu sebagai sebuah bandar pelabuhan di Asia Tenggara, yang menyaksikan percampuran pelbagai pengaruh sehingga membentuk identiti pelbagai budaya yang unik dan sentiasa berkembang.
“Terdapat pelbagai gabungan silang budaya dalam komuniti Peranakan, termasuk Peranakan Arab, Peranakan Cina (juga dikenali sebagai Baba-Nyonya), Chitty Melaka (atau Peranakan India), Peranakan Eurasia dan Peranakan Jawi,” katanya.
Lim menegaskan bahawa menjadi misi utama Muzium Peranakan untuk menampilkan kepelbagaian ini serta mempersembahkan seni silang budaya dan warisan budaya tidak ketara komuniti dari Asia Tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial