DUNIA > BERITA

CHINA TERUS PERKASA PLATFORM TERBUKA, STABILKAN PELABURAN ASING

17/03/2025 03:29 PM

BEIJING, 17 Mac (Bernama-CMG) -- China akan terus meningkatkan kecekapan pelbagai platform terbuka sebagai usaha menstabilkan pelaburan asing.

Platform berkenaan merangkumi zon pembangunan ekonomi dan teknologi peringkat negara, zon demonstrasi komprehensif untuk keterbukaan sektor perkhidmatan, zon rintis perdagangan bebas dan sebagainya.

Menurut Kementerian Perdagangan (MOFCOM), seiring dengan pelaksanaan 'Pelan Tindakan Menstabilkan Pelaburan Asing 2025', syarikat asing diyakini akan memperoleh peluang pembangunan yang lebih besar daripada pasaran China.

China kini mempunyai sebanyak 232 zon pembangunan ekonomi dan teknologi peringkat negara yang menyumbang satu persepuluh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pelaburan asing yang direalisasikan oleh zon berkenaan melebihi satu perlima daripada jumlah keseluruhan negara.

Pada 2024, zon demonstrasi komprehensif untuk keterbukaan sektor perkhidmatan berjaya menarik pelaburan asing sebanyak US$41.3 bilion (RM183.6 bilion), menyumbang kira-kira 50.2 peratus kepada keseluruhan pelaburan asing dalam sektor berkenaan.

Satu tinjauan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun di China (CJCCI) mendapati 58 peratus anggotanya akan meningkatkan atau mengekalkan skala pelaburan mereka di China.

Laporan Dewan Perniagaan Amerika di China pula menunjukkan, 53 peratus firma Amerika Syarikat (AS) yang ditinjau akan menambah pelaburan mereka di negara Tembok Besar pada tahun ini.

-- BERNAMA-CMG 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan