DUNIA > BERITA

POLIS THAILAND RAMPAS 260,000 E-ROKOK, AKSESORI BERNILAI 130 JUTA BAHT

18/03/2025 09:55 PM

BANGKOK, 18 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Thailand merampas lebih 260,000 e-rokok dan aksesori berkaitan, dengan anggaran nilai melebihi 130 juta baht (US$3.87 juta), dalam serbuan yang dijalankan di 10 lokasi di wilayah Nonthaburi pada Selasa.

Penolong Pesuruhjaya Jeneral Pol. Lt. Jeneral Samran Nuanma berkata serbuan itu, yang dijalankan di bawah waran geledah sebagai sebahagian daripada "Operation Smoke Out" - usaha bersama antara Biro Polis Metropolitan dan “Provincial Police Region 1” - menyasarkan lokasi yang terlibat dalam penyimpanan dan pengedaran e-rokok dan e-cecair.

Beliau menyifatkan rampasan itu sebagai antara yang terbesar setakat ini, melibatkan produk premium bernilai tinggi, masing-masing dianggarkan bernilai sekitar 500 baht.

"Operasi ini sejajar dengan dasar kerajaan. Sehingga kini, lebih 800,000 barangan bernilai lebih 200 juta baht telah dirampas," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Samran menambah barang rampasan itu akan dimusnahkan mengikut prosedur terkawal, sama seperti yang digunakan untuk pemusnahan narkotik.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra memuji polis atas usaha bersepadu mereka, yang berjaya mematahkan operasi e-rokok.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Jiraporn Sindhuprai menyampaikan kebimbangan Perdana Menteri terhadap narkotik - seperti ketamin - dicampur dengan cecair e-rokok, yang telah membawa kepada kematian.

“Barangan yang dirampas akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk penilaian dan siasatan lanjut ke atas pembiaya dan pengimport terbabit," katanya.

Beliau menambah bahawa Paetongtarn juga mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan, dan Inovasi untuk mendidik pelajar, guru, dan kakitangan sekolah tentang bahaya dan status haram rokok elektronik.

"jika mana-mana kakitangan pendidikan, yang sepatutnya menjadi contoh kepada golongan muda, didapati menggunakan e-rokok, mereka akan menghadapi tindakan undang-undang dan tatatertib," kata Jiraporn.

Jiraporn berkata kerajaan komited untuk melindungi kesihatan awam, terutamanya dalam kalangan golongan muda, dan akan menguatkuasakan langkah lebih ketat untuk mewujudkan masyarakat bebas e-rokok.

--  BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan