DUNIA > BERITA

KAUKUS PALESTIN PARLIMEN MALAYSIA KECAM TINDAKAN ISRAEL LANGGAR GENCATAN SENJATA

20/03/2025 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel melanggar gencatan senjata, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 436 rakyat Palestin termasuk 183 kanak-kanak terbunuh sejak serangan ke atas Gaza disambung semula pada awal pagi Selasa.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata tindakan Israel itu “bukan sekadar serangan, tetapi satu pembantaian dan peningkatan jenayah perang yang berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, usaha kemanusiaan serta agensi dan pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

Beliau turut mengecam serangan ke atas kemudahan Pejabat Perkhidmatan Projek PBB (UNOPS) di tengah Gaza yang mengorbankan seorang pekerja kemanusiaan asing serta mencederakan lima yang lain.

“Kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa ini "hanyalah permulaan" membuktikan niat sebenar Israel.

"Bukan keamanan yang dicari, tetapi pemusnahan," katanya dalam kenyataan itu.

Justeru, kaukus menuntut tindakan segera di peringkat antarabangsa bagi menamatkan jenayah ini termasuklah penamatan semua bantuan ketenteraan kepada Israel, kerana tiada negara seharusnya membiayai jenayah perang.

Syed Ibrahim juga menuntut campur tangan antarabangsa bagi menamatkan kepungan ke atas Gaza serta memastikan bantuan makanan, air dan perubatan disalurkan tanpa halangan.

Selain itu, pelaku jenayah perang Israel juga perlu dihadapkan ke muka pengadilan mengikut undang-undang antarabangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa kecaman semata-mata tidak memadai. 

“Sekarang adalah masanya untuk bertindak. Dunia mesti menentang pembunuhan beramai-ramai ini dan berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan yang sah untuk kebebasan, keadilan dan maruah mereka," katanya.

Pada Selasa, tentera Israel mengesahkan pihaknya melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Jan, mengorbankan 436 nyawa manakala lebih 670 lagi cedera, lapor Anadolu Ajansi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan