DUNIA > BERITA

ALPHABET LANGGAR PERATURAN DIGITAL EU -- SURUHANJAYA EROPAH

20/03/2025 03:02 PM

BRUSSELS, 20 Mac (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Eropah pada Rabu menyatakan bahawa penemuan awal mereka menunjukkan Alphabet, syarikat induk Google melanggar peraturan digital Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Siasatan mendapati syarikat itu memberi layanan lebih baik kepada perkhidmatannya sendiri berbanding pesaing, sekali gus gagal memastikan layanan yang telus, adil dan tanpa diskriminasi terhadap perkhidmatan pihak ketiga, seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pasaran Digital EU (DMA).

“Memastikan Alphabet mematuhi sepenuhnya DMA adalah penting bagi menjamin peluang perniagaan dan inovasi kepada semua penyedia perkhidmatan digital,” kata Pesuruhjaya EU untuk kedaulatan teknologi, keselamatan dan demokrasi Henna Virkkunen.

Walaupun Suruhanjaya mengakui bahawa Alphabet telah melaksanakan beberapa perubahan pada Carian Google, siasatan mendapati syarikat itu masih memberikan keutamaan kepada perkhidmatannya sendiri dalam bidang seperti membeli-belah dalam talian, tempahan hotel, keputusan sukan, dan pengangkutan.

Penemuan itu turut melibatkan Google Play Store, dengan Alphabet didakwa gagal memaklumkan pengguna mengenai pilihan alternatif yang lebih murah, mengarahkan mereka kepada tawaran itu, serta membenarkan mereka membuat pembelian dengan mudah.

Bagaimanapun, penilaian awal itu bukan keputusan muktamad dan Alphabet masih boleh memberi respon balas kepada Suruhanjaya sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Syarikat yang beroperasi di EU telah tertakluk kepada DMA sejak Mei 2023, dan peraturan itu kini telah dikuat kuasa hampir dua tahun.

-- BERNAMA-dpa


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan