AM > BERITA

PM Luang Masa Kunjungi Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang

21/03/2025 07:47 PM

CHUKAI, 21 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa berkunjung serta beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang di sini hari ini. 

Ketibaan Anwar, yang diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, disambut meriah oleh peniaga dan pengunjung bazar berkenaan.

Para peniaga yang teruja dengan kunjungan itu dilihat turut berkongsi rezeki dengan Perdana Menteri antaranya kuih ropa, nasi kerabu dan satar. 

Peniaga kuih tradisional Terengganu iaitu kuih ropa, Tengku Nurlisa Tuan Mohd Shamsir, 33, berkata dia dan rakan-rakan peniaga teruja apabila dimaklumkan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan melawat bazar berkenaan. 

“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga bersua muka dengan pemimpin nombor satu Malaysia. Insya-Allah, ini satu pengalaman berharga yang tidak akan saya lupakan. Tadi pun PMX ada doakan saya semoga berjaya dalam perniagaan. Jadi, itu sebenarnya amat memotivasikan saya untuk terus berniaga,” katanya. 

Setiausaha Persatuan Usahawan Perwira Negeri Terengganu Suliana Ali yang diberi tanggungjawab menguruskan bazar berkenaan oleh Majlis Perbandaran Kemaman, pula berkata sebagai bazar terbesar di daerah paling selatan Terengganu, ia menghimpunkan kira-kira 250 peniaga pada tahun ini. 

Beliau berkata bazar itu turut mengangkat usaha kelestarian menerusi Hari Tanpa Straw dan Beg Plastik pada setiap hujung minggu dengan pengunjung digalakkan membawa beg plastik masing-masing. 

Suliana berkata lebih menarik, bazar itu juga turut bekerjasama dengan aplikasi penghantaran Misi yang membolehkan orang ramai membuat pembelian secara dalam talian sebelum juadah dihantar oleh ‘rider’ Misi di daerah berkenaan.

Perdana Menteri kemudian menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Masjid Sultan Ahmad.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan