DUNIA > BERITA

XI MAHU YUNNAN PERKASA KETERBUKAAN BERTARAF TINGGI

21/03/2025 03:01 PM

KUNMING, 21 Mac (Bernama-CMG) -- Provinsi Yunnan perlu memanfaatkan lokasi strategiknya untuk memperkasa keterbukaan bertaraf tinggi serta mengetengahkan diri sebagai hab utama yang menyasar Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Perkara itu ditekankan oleh Presiden China Xi Jinping semasa tinjauan selama dua hari ke provinsi Yunnan bermula Rabu.

Beliau mahu provinsi itu membina zon rintis perdagangan bebas secara berkualiti tinggi, memperkasa pembangunan saluran melibatkan pengangkutan, logistik, tenaga dan maklumat digital, selain menjadikan pelbagai platform terbuka sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

Yunnan juga hendaklah memperluas pertukaran dan kerjasama dengan negara jiran dalam bidang seperti ekonomi, teknologi, modal insan, perubatan dan budaya, sekali gus membolehkan usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menjana manfaat ketara yang dapat dinikmati semua.

Xi berkata Yunnan perlu mengamalkan konsep pembangunan baharu secara tepat dan menyeluruh, di samping mempergiat pembangunan berkualiti tinggi agar menyingkap lembaran pembangunan baharu dalam modenisasi ala China.

Beliau turut menekankan perlunya provinsi itu melipatgandakan usaha bagi memacu industri pertanian dataran tinggi serta sektor pelancongan budaya.

Yunnan mempunyai kedudukan signifikan dari segi ekologi, kata beliau sambil menambah provinsi itu harus mengekalkan jalan pembangunan hijau yang memprioritikan ekologi.

Semasa tinjauan itu, Xi telah melawat bandar Lijiang dan Kunming.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan