KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Turkiye mengulangi gesaannya terhadap institusi antarabangsa yang lebih kukuh dan berkesan dalam menegakkan keadilan, keamanan dan kestabilan dunia di tengah-tengah krisis global dan serantau yang semakin meruncing.
Berucap dalam forum bertajuk “A Fairer World is Possible” di Kuala Lumpur pada Jumaat, Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata badan antarabangsa yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua itu semakin hilang keberkesanannya dalam menangani konflik dan cabaran semasa.
“Forum ini, yang bertajuk ‘A Fairer World is Possible’, mencerminkan persimpangan penting dalam era moden kita.
“Dalam keadaan sukar seperti ini, usaha global untuk mencari penyelesaian sering terhalang oleh kepentingan sempit dan berat sebelah,” katanya dalam ucapan pembukaan forum itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyelesaikan krisis global dan serantau.
Yuksel turut memetik pendirian Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang sekian lama menekankan keperluan mereformasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan berkata, “dunia ini lebih besar daripada lima”, bagi memastikan tadbir urus global yang lebih adil.
“Seruan ini bertujuan mengembalikan prinsip asas keadilan, keamanan, ketertiban dan kecekapan dalam institusi antarabangsa. Kami percaya dunia yang lebih adil adalah satu kemungkinan,” katanya.
Forum yang dianjurkan bersama Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye (Stratcom) itu turut dihadiri Duta Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid dan Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov.
Forum itu menampilkan panel pakar, termasuk Profesor Ruhanas Harun (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), Dr Mohd Iqbal Abdul Wahab (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Dr Roy Anthony Rogers (Universiti Malaya), Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Pengasas Bait Al Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial