DUNIA > BERITA

SUKAN OLIMPIK KHAS UAE PERKUKUH IMPAK SERANTAU DENGAN PUNGUTAN PINGAT TERBANYAK

23/03/2025 07:03 PM

ABU DHABI, 22 Mac (Bernama-WAM) -- Sukan Olimpik Khas Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus mencatat kemajuan signifikan dalam memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dengan para atlet mencapai kejayaan bersejarah dalam kejohanan serantau dan antarabangsa -- termasuk kejayaan baru-baru ini di Malaysia.

Bermula pada awal 1990-an di bawah Persekutuan Sukan Orang Kurang Upaya UAE, ia berkembang menjadi satu gerakan nasional yang semakin kukuh, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Sukan Olimpik Khas UAE ditubuhkan semula pada 2017 sebagai pertubuhan berkepentingan awam di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan memperoleh momentum selepas negara itu menjadi tuan rumah “Special Olympics World Games” di Abu Dhabi pada 2019.

Edisi berkenaan mencatat penyertaan atlet terbesar dalam sejarah kejohanan itu dengan lebih 7,000 peserta dari 200 negara serta menjadi titik perubahan terhadap komitmen UAE dalam mempromosikan keterangkuman melalui sukan.

Antara sorotan kejayaan serantau terbaru, pasukan powerlifting UAE meraih 20 pingat -- 15 emas dan 5 perak -- pada “2023 Asian Classic Powerlifting Championships” di Johor Bahru, Malaysia, sekali gus mengukuhkan keunggulan negara itu di pentas Asia.

Pada “2023 World Games” di Berlin, kontinjen UAE mempamerkan prestasi terbaik oleh negara Arab dengan memperoleh 73 pingat termasuk 18 emas, 22 perak dan 33 gangsa.

Kejayaan diteruskan pada "2024 Malta National Games" dan "Middle East and North Africa Athletics Championship" di Amman, apabila atlet UAE memenangi 37 pingat secara keseluruhan, sekali lagi membuktikan keunggulan golongan OKU negara itu dalam sukan.

Pada Mei 2024, UAE menganjurkan edisi sulung "Special Olympics Games" yang menghimpunkan lebih 1,000 atlet dari sekolah, kelab dan pusat komuniti seluruh negara.

Terbaharu, di "Torino Games" di Itali, UAE mencapai satu lagi kejayaan dengan memenangi 16 pingat menerusi kontinjen kecil 11 atlet – pungutan pingat tertinggi oleh mana-mana negara Arab atau Timur Tengah dalam kejohanan itu.

“Sejak “Special Olympics World Games 2019”, kita menyaksikan era baharu pemerkasaan dan kecemerlangan Golongan OKU dalam sukan,” kata Pengarah Kebangsaan Special Olympics UAE, Talal Al Hashemi.

“Strategi kami sejajar dengan visi kepimpinan negara menunjukkan hasil yang kukuh dalam membangunkan atlet serta mewujudkan budaya sukan yang inklusif.”

-- BERNAMA-WAM

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan