AM > BERITA

Sarawak Perlu Lebih Banyak Pekerja Mahir, Jurukimpal - Uggah 

25/03/2025 03:56 PM

KUCHING, 25 Mac (Bernama) -- Berlaku kekurangan pekerja mahir di negeri ini terutamanya jurukimpal berikutan pelbagai projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan pada masa ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata hal berkenaan dimaklumkan oleh pihak kontraktor di negeri ini.

“Bukan mudah untuk mereka (kontraktor) mengambil pekerja asing kerana peraturan imigresen yang ketat. Sehubungan itu, saya berharap institusi pendidikan tempatan seperti Kolej Universiti i-CATS mampu memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri itu sedang giat melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di seluruh negeri.

Beliau berkata kementeriannya sahaja sedang mengendalikan projek-projek yang dianggar bernilai RM30 bilion.

 “Terdapat dua projek besar iaitu pembinaan lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut dalam baharu, kedua-duanya di Tanjung Embang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan